Pelaburan asing kukuh, lonjak keyakinan pelabur 

Pelaburan asing kukuh, lonjak keyakinan pelabur 

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan pelaburan asing (FI) sebanyak RM60.4 bilion atau 67.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan terus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kedudukan kewangan kerajaan dan dasar ekonomi negara.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pegangan asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) meningkat daripada 32.3 peratus pada Januari 2025 kepada 35.6 peratus setakat Mei, manakala pegangan dalam sukuk kerajaan (GII) kekal stabil sekitar 8.7 peratus.

“Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) juga naik kepada AS$119.6 bilion (RM507.68 bilion)  pada akhir Mei berbanding AS$115.5 bilion (RM490.28 bilion) pada awal Januari.

“Selain itu, pelaburan dalam sektor perkhidmatan melonjak 326.6 peratus, dipacu pembinaan pusat data dan inisiatif di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Minggu lalu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan pelaburan yang diluluskan bagi suku pertama 2025 berjumlah RM89.8 bilion, melibatkan 1,556 projek yang dijangka mewujudkan 33,368 peluang pekerjaan baharu.

Daripada jumlah itu, FI menyumbang RM60.4 bilion manakala pelaburan domestik (DI) sebanyak RM29.4 bilion.

Mohd. Afzanizam berkata, perkembangan positif ini hasil koordinasi mantap kerajaan dalam menarik pelabur meskipun berdepan ketidaktentuan global.

“Kestabilan politik dan dasar ekonomi jelas menjadi pemangkin keyakinan pelabur. Namun, prestasi Bursa Malaysia masih lemah ekoran jualan bersih berterusan pada Jun dan keputusan kewangan suku pertama syarikat tersenarai yang di bawah jangkaan.

“Justeru, prospek Bursa Malaysia dijangka terus mencabar dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelaburan terbesar pelaburan langsung asing (FDI) pada suku pertama disumbangkan oleh sektor perkhidmatan, khususnya pembinaan pusat data oleh syarikat multinasional.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan yang merangkumi 59 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka terus berkembang, seterusnya menyokong ekonomi domestik berikutan kelembapan eksport global.

“Peningkatan Malaysia dalam Indeks Pekerjaan Berkemahiran Tinggi (MTS) juga memberi isyarat positif terhadap usaha menarik FDI berkualiti tinggi.

“Malaysia tidak lagi sesuai menjadi hab tenaga buruh murah kerana negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia lebih kompetitif dari segi kos. Namun, Malaysia kekal menarik dengan tenaga kerja mahir, infrastruktur baik dan ekosistem pelaburan yang kondusif,” katanya.

Tambahnya, peningkatan itu sejajar aspirasi kerajaan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2027 menerusi kerangka Ekonomi Madani.

“Bagaimanapun, isu ketidakpadanan kemahiran graduan dengan keperluan pasaran kerja masih perlu diberi perhatian agar sasaran ini tercapai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×