Pfizer beri keutamaan pada inovasi, kukuhkan perkongsian

Pfizer beri keutamaan pada inovasi, kukuhkan perkongsian

DEBORAH SEIFERT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat biofarmaseutikal, Pfizer memberi keutamaan di Malaysia dalam tiga tonggak utama iaitu memacu inovasi, mengukuhkan perkongsian dan meningkatkan penjagaan pesakit dalam beberapa tahun akan datang. 

Ketua Kluster Pfizer, Malaysia-Indonesia-Singapura-Filipina (MISP), Deborah Seifert berkata, pihaknya akan terus melabur dalam rawatan dan terapi generasi akan datang untuk menangani keperluan perubatan yang tidak dipenuhi, terutamanya dalam bidang seperti onkologi, vaksin dan penyakit jarang berlaku.

Kataya, inovasi akan kekal sebagai teras kepada semua yang kami lakukan, dengan komitmen untuk menambah baik kualiti hidup pesakit.

“Selain itu, kami berhasrat untuk memanfaatkan nilai perkongsian awam-swasta dan dan mengaplikasikannya kepada bidang baharu seperti kanser, penyakit tidak berjangkit dan penyakit berkaitan penuaan bagi menangani beberapa cabaran kesihatan terbesar yang dihadapi di negara ini.

“Dalam hal ini, kerjasama akan menjadi penting dalam meluaskan akses kepada penjagaan kesihatan mampu milik, meningkatkan kesedaran kesihatan awam dan memastikan akses saksama kepada rawatan menyelamatkan nyawa di seluruh Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya komited untuk bekerja rapat dengan komuniti perubatan untuk menyediakan penyelesaian berpusatkan pesakit dan memperkasakan individu dengan pengetahuan dan kaedah yang diperlukan untuk mengurus kesihatan mereka dengan berkesan.

“Kami akan terus memanfaatkan teknologi dan data untuk mencipta lebih banyak pengalaman penjagaan kesihatan yang diperibadikan, memastikan pesakit di Malaysia menerima rawatan yang tepat pada masanya dan berkesan.

“Pfizer menjangkakan masa depan penjagaan kesihatan di Malaysia yang inovatif, berpusatkan pesakit dan inklusif,” ujarnya.

Tambahnya, Pfizer menjangkakan sistem rawatan lanjutan dan penyelesaian kesihatan digital disepadukan untuk menawarkan penjagaan yang lebih tepat, cekap dan mudah diakses.

“Peranan teknologi dalam meningkatkan hasil kesihatan akan menjadi yang terpenting dengan inovasi seperti teleperubatan, kecerdasan buatan (AI) dan analisis data mengubah cara penjagaan kesihatan disampaikan,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×