Peniaga degil punca bau busuk Medan Selera Ulu Bendul

Peniaga degil punca bau busuk Medan Selera Ulu Bendul

KEADAAN air pembentung yang melimpah dipercayai tersumbat berhampiran Medan Selera Ulu Bendul, Kuala Pilah sehingga mengeluarkan bau busuk.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Kedegilan peniaga di Medan Selera Ulu Bendul yang tidak mematuhi peraturan pengurusan sisa makanan menjadi punca kepada masalah bau busuk di kawasan tersebut.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP), Nawal Mohamed Amin berkata, pihaknya sudah beberapa kali mengeluarkan kompaun namun sikap peniaga menyebabkan masalah terus berlaku.

Sehubungan itu, katanya, MDKP sedang merancang langkah penyelesaian jangka panjang bagi isu bau busuk tersebut demi memastikan keselesaan pengunjung Taman Eko Rimba Ulu Bendul itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami sudah beberapa kali mengeluarkan kompaun kepada peniaga yang tidak mematuhi peraturan pengurusan sisa makanan termasuk kegagalan memasang perangkap gris (grease trap),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan Mingguan Malaysia hari ini mengenai aduan awam yang meluahkan rasa kurang senang dengan bau busuk di sekitar medan selera di kawasan tersebut.

Tinjauan pemberita mendapati air kotor sisa makanan mengalir daripada pembentung yang dipercayai tersumbat hingga mencemarkan persekitaran sekali gus menjejaskan imej lokasi tumpuan pelancong itu.

Sementara itu, Nawal memberitahu, MDKP akan sentiasa menjalankan pemantauan secara berkala di kawasan tersebut.

“Kami menasihatkan peniaga agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengendalian sisa makanan bagi mengelakkan masalah ini berulang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini