KOTA BHARU: Seorang pelatih bertekad mengikuti Majlis Penyampaian Sijil Perbadanan Hal Ehwal Angkatan Tentera (Perhebat) walaupun masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak kelima, 13 hari lalu.
Sarjan Siti Rozaiwani Ibrahim, 41, dari Unit 12 Kor Kesihatan Diraja (KKD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, semangat luar biasa mendorongnya supaya hadir ke majlis konvokesyen buat pertama kali dalam hidupnya.
Dia yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, setelah sekian lama berkhidmat sebagai anggota tentera, beliau kini menghitung hari untuk bersara dan kembali sebagai masyarakat awam.
“Tempoh khidmat saya hanya berbaki lima hari sebelum bersara daripada ATM pada 17 Jun ini. Hakikat ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk hadir ke majlis konvokesyen walaupun masih berpantang,” katanya ketika ditemui di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Nilam Puri di sini, semalam.
Kataya, sepanjang 21 tahun berkhidmat sebagai anggota tentera, dia tidak terlepas daripada melalui saat sukar dalam kehidupan dan cabaran paling besar adalah terpaksa berjauhan dengan suami selama 11 tahun.
Katanya, ia termasuklah semasa berkhidmat selama 10 tahun di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). – UTUSAN











