Seorang bapa mungkin tidak pandai dan tidak selalu meluahkan perasaan sayang dengan kata-kata.
Apalagi dengan pelukan atau kata-kata pujian.
Namun dalam diam, bapa sanggup mengorbankan segalanya termasuk tenaga, masa dan wang ringgit bagi memastikan anak-anak cukup makan, pakai, perlindungan dan seimbang ilmu dunia akhirat.
Namun, tidak semua hubungan bapa dan anak sempurna. Ada diuji dengan bapa yang tidak bertanggungjawab, bapa yang lupa diri dan bapa toksik.
Minggu ini, saya kongsikan kisah Shukri (bukan nama sebenar, anak yang disisih bapa kandungnya sendiri.
Namun, selepas hampir dua dekad bapa yang sebelum ini dikawal isteri baharu yang hanya pentingkan diri akhirnya mencari anaknya semula.
Ini setelah kehidupan bapa tidak begitu baik selepas duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik bapa yang dikeluarkan semasa umur 55 tahun dua tahun lalu dihabiskan ibu tiri.
Jumlahnya bukan sedikit tetapi melebihi RM200,000.
Bukan sahaja dikelilingi hutang, perniagaan ibu tiri turut lingkup.
“Ayah ada menghubungi saya sejak awal Januari lalu memberitahu dia dalam kesusahan dan tiada duit. Kalau saya tidak menjawab, ibu tiri pula menyusul menghubungi saya berkali-kali.
“Ibu tiri akan marah-marah dan menuduh saya anak derhaka kerana tidak membantu orang tua sendiri,” kata Shukri memulakan perbualan.
Shukri yang saya ditemui baru-baru ini berkata, dia tidak berniat untuk membuat aib keluarga sendiri.
Katanya, mungkin ada yang pernah menanggung luka dan melalui perkara sama dengannya dan berharap boleh menjadi pengajaran kepada semua.
Tambah Shukri, bukan dia tidak bersimpati dengan nasib bapa dan ibu tirinya itu, namun jauh di sudut hatinya berasa kecewa.
Ini kerana bapanya langsung tidak merancang simpanan hari tua.
“Apa yang saya tahu, selepas mengeluarkan wang, bapa dan ibu tiri hidup mewah.
“Bukan sahaja sibuk membesarkan rumah, membeli perabot baharu, tetapi juga turut melancong ke luar negara,” ujarnya.
Shukri, merupakan anak tunggal daripada perkahwinan bapa dan arwah ibu. Mereka hidup sederhana.
Bapanya, Munir (bukan nama sebenar), seorang juruteknik di salah sebuah syarikat swasta.
Katanya, selepas ibu meninggal dunia, bapa berusaha membesarkannya yang ketika itu berusia 10 tahun.
Dia sangat rapat dengan bapa. Selepas kematian ibu, bapa mengambil alih tugas menyediakan makan, pakai dan menguruskan persekolahannya.
Namun, segala-galanya berubah selepas bapa berkahwin lagi hanya selepas genap setahun ibu tiada.
Bapa berkahwin dengan seorang wanita yang dipanggil dengan ‘makcik’,yang juga anak dara tua berusia 35 tahun.
IBU TIRI BERMUKA-MUKA
Menurut Shukri, awalnya dia cuba menerima kehadiran ibu tiri dalam keluarga.
Begitu juga ibu tiri yang bermulut manis melayannya dengan baik dan penuh kasih sayang.
Tetapi lama kelamaan, Shukri mulai sedar ada sesuatu yang tidak kena.
Layanan baik diterima daripada ibu tiri hanya ketika bapa di rumah, jika bapa tiada layanan sebaliknya diterima.
“Saya disuruh membersihkan tandas, menyapu sampah dan melipat pakaian. Saya dipaksa melakukan kerja-kerja tersebut. Apabila saya buat silap, saya dimarahi ibu tiri dan kadang-kadang dicubit di bahagian perut.
“Mahu mengadu kepada ayah, takut pula saya yang kena marah,” katanya.
Sejak bapanya berkahwin lain, dia bagaikan kehilangan tempat bermanja.
Bapa semakin sibuk dengan kerja. Apabila di rumah, sibuk pula melayan ibu tiri.
“Saya seperti menumpang di rumah sendiri. Tidak bebas. Saya ditegur jika terlalu lama menonton televisyen, lambat bangun dan saya juga dikerah melakukan kerja-kerja rumah,’’ cerita Shukri.
Katanya, lebih mengecewakan apabila bapanya semakin berubah.
Bapa mengutamakan ibu tiri sama ada daripada perhatian mahupun keperluan.
Sekiranya dia meminta sesuatu, bapa memberi pelbagai alasan.
Wang tidak mencukupi dan pada masa dia melihat bapa membelikan gelang dan rantai emas untuk ibu tiri.
Tambah Shukri, antara peristiwa yang tidak pernah dilupakan semasa dia jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital.
Bapanya hanya datang sekejap dan memberi alasan tidak boleh lama kerana perlu menemani ibu tiri yang keseorangan di rumah.
Lebih menyedihkan apabila dia dihantar ke asrama ketika berusia 13 tahun atas cadangan ibu tiri.
“Ayah memilih untuk menghantar saya ke asrama dengan alasan bagi memastikan saya dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran.
“Hati saya benar-benar sedih ketika itu. Namun, apa yang saya boleh lakukan dan hanya menurut sahaja cadangan ayah,” ujarnya.
Kata Shukri, setiap kali cuti sekolah dan balik ke rumah, dia berasa semakin jauh dengan bapanya.
Bapa terus sibuk dengan kerjanya, manakala ibu tiri sibuk dengan perniagaan butik pakaiannya.
Hari berganti minggu, minggu beralih bulan dan seterusnya memasuki tahun.
Pada tahun sama Shukri masuk ke universiti, dia mendapat tahu bapa menjual tanah milik arwah ibu di kampung.
“Alasan ayah wang tersebut digunakan untuk saya menyambung pengajian. Apa yang menyedihkan, wang tersebut sebahagian besarnya diserahkan kepada ibu tiri,’’ kata Shukri.
Walaupun hati belum mampu menerima perbuatan bapa dan ibu tiri sepenuhnya, dia tetap menghulurkan bantuan kepada mereka.
“Saya tetap bantu ayah walaupun hati saya belum sembuh sepenuhnya. Beri saya masa. Saya sayangkan ayah. Namun hubungan kami tidak akan pulih seperti dahulu lagi,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.
Sesungguhnya tanggungjawab terhadap bapa dalam Islam dijelaskan dalam al-Quran dan hadis yang menekankan pentingnya menghormati dan berbuat baik kepada kedua orang tua, termasuk bapa.
“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah, dan menyusui selama dua tahun.
Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepadaKulah kembali,’-(surah Luqman ayat 14).-UTUSAN










