Kedutan berani Roselle

Kedutan berani Roselle

Roselle mengolah teknik klasik, shirring untuk koleksi Musim Luruh/Sejuk 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia fesyen yang sering dibanjiri dengan suara-suara lantang dan trend yang berubah saban musim, muncul satu suara segar dan lembut tapi tegas, muda tapi tajam yang memilih untuk menyulam alam ke dalam setiap inci rekaannya.

Semuanya bermula dengan satu teknik klasik yang kini kembali mencuri tumpuan iaitu shirring.

Shirring bukanlah sekadar teknik. Ia adalah seni kesabaran dan kekuatan halus. Jahitan kedut tangan yang dirapatkan ini mencipta tekstur ‘hidup’ yang bergerak bersama tubuh, seolah-olah permukaan ais yang sedang mencair dan membentuk naratif baharu.

Teknik ini bukan sahaja mencipta keindahan yang visual, tetapi juga menceritakan naratif daya tahan dan perubahan, nilai-nilai yang dekat dengan wanita moden hari ini.

Di sinilah muncul bintang baharu dari Kampar, Perak iaitu Husna Ghazali atau lebih dikenali dalam dunia fesyen sebagai Roselle. Baru sahaja menamatkan pengajian dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Roselle, 26 tahun, hadir dengan koleksi Musim Luruh/Sejuk 2025 yang bukan calang-calang.

Beliau mendapat inspirasi oleh fenomena bongkah ais terbesar yang terapung di Laut.

Weddell, bukan hanya kerana saiznya yang megah, tetapi kerana mesej tersembunyi tentang perubahan iklim dan ketahanan alam.

Roselle menggunakan teknik shirring bukan sembarangan. Setiap kedutan disusun untuk mencipta bentuk berlapis-lapis yang mengingatkan kita kepada rekahan ais dan rabung lautan.

Hasilnya? Siluet yang dramatik tetapi halus, potongan besar tetapi anggun, lutsinar tetapi berlapis seperti metafora visual tentang kekuatan wanita yang lembut namun tidak pernah goyah.

Bukan itu sahaja, Roselle turut bermain dengan fabrik lutsinar yang memerangkap cahaya seolah pantulan matahari pada ais. Warna-warna biru cair, putih kristal dan ton sejuk mencipta suasana yang tenang tetapi menyentuh.

Koleksinya bukan sahaja untuk digayakan, tetapi dirasai seperti berdiri di tepi bongkah ais sambil menghirup angin Antartika dan mengenang tentang bumi yang perlu kita jaga.

Melalui koleksi ini, Roselle tidak hanya mencipta pakaian. Beliau mencipta dialog antara manusia dan alam. Antara seni dan kelangsungan. Antara kedut halus shirring dan impak besar terhadap kesedaran alam sekitar.

Dan kalau kamu tertanya, “bolehkah dirikan gayakan shirring dalam kehidupan seharian?”
Jawapannya, ya.

Untuk yang bertubuh petite, pilihlah yang fokus di bahagian dada untuk beri ilusi dada penuh.

Padankan dengan seluar potongan lurus supaya tidak tenggelam dalam tekstur. Untuk yang berbadan curvy, shirring di bahagian pinggang adalah sahabatmu.

Ia akan memeluk bentuk badan dengan manis tanpa berlebihan.

Bagi yang langsing, shirring boleh memberi dimensi tambahan. Pilihlah rekaan dengan shirring serata untuk menambahkan tekstur dan volume tanpa perlu aksesori berlebihan.

Koleksi Roselle menyeru kita agar lebih lembut tetapi tidak lemah, lebih sedar tetapi tidak takut untuk menonjol.

Saya pastinya tidak sabar menanti langkah seterusnya dari Roselle. Tetapi buat masa ini, mari kita raikan keberaniannya menjahit kedut demi kedut untuk masa hadapan yang lebih bergaya dan bererti.

Jika ini langkah pertamanya selepas menamatkan pengajian, bayangkan ke mana jejaknya akan pergi selepas ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×