‘Payung besar’ orang Melayu formula terbaik

‘Payung besar’ orang Melayu formula terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERUJUK artikel bertajuk ‘Payung besar’ orang Melayu: Tun M perlu cari formula lain, terbitan 6 Jun lalu, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menyatakan penubuhan ‘payung besar’ dilihat sukar bertahan dan berisiko menerima nasib sama seperti Muafakat Nasional (MN) yang akhirnya berpecah.

Beliau turut menyatakan perjuangan orang Melayu tidak boleh hanya berteraskan politik semata-mata, malah mempersoalkan matlamat sebenar ‘payung besar’ ini — adakah ia hanya untuk kepentingan politik dan meraih kuasa?

Saya percaya kenyataan tersebut dibuat tanpa maklumat yang lengkap dan menyeluruh. Sebagai seorang yang terlibat secara langsung dalam beberapa siri perbincangan untuk menyatukan orang Melayu bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad serta rakan-rakan lain yang terdiri daripada pemimpin Melayu daripada pelbagai latar belakang sama ada politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu berpengaruh, beberapa perkara perlu diberi pencerahan.

Sesiapa yang pernah bekerja atau berurusan dengan Dr. Mahathir pasti maklum setiap kenyataan awamnya melalui proses perbincangan, penelitian dan pertimbangan yang berulang kali. Begitu jugalah dengan seruan untuk menyatukan orang Melayu di bawah satu ‘payung besar’.

Gagasan dikemukakan Dr. Mahathir adalah penyatuan orang Melayu sebagai individu, tanpa mengira latar belakang politik. Sebab itulah beliau mengalu-alukan ahli UMNO dalam usaha penyatuan ini.

Justeru, apabila Muhammad menyatakan gagasan ini hanya berteraskan politik semata-mata, maka kenyataan tersebut tidak tepat dan boleh mengelirukan.

Tiada siapa pun yang bercakap tentang kuasa, apatah lagi Dr. Mahathir sendiri. Namun, beliau hanya ingin menyumbangkan ilmu, pengalaman dan kebijaksanaan yang dikumpulkan selama lebih 80 tahun dalam pentas perjuangan bangsa dan negara.

Matlamat utama penyatuan ini untuk mengembalikan dominasi kuasa politik orang Melayu. Malah, tiada siapa pun dinamakan sebagai calon Perdana Menteri dalam gerakan penyatuan ini.

Fokus hari ini sangat jelas, kita mahukan bentuk penyatuan yang tulen, jujur dan ikhlas demi memastikan hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam tidak digugat serta terus terpelihara.-UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM
Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×