JOHOR BAHRU: Seorang pengurus sumber manusia warga Singapura didenda sebanyak RM9,100 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah merosakkan kenderaan dan meludah muka seorang lelaki di Taman Sutera Utama, Skudai, di sini Ahad lalu.
Majistret, A. Shaarmini turut memerintahkan Cheng Kuan Poh Colin, 40, dipenjara selama 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan niat menyebabkan kerugian dan kebinasaan harta iaitu merosakkan kereta BMW milik Ng Yeow Meng, 32, manakala pertuduhan kedua adalah meludah ke muka mangsa dengan maksud mengaibkannya.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Jalan Sutera Tanjung 8/4, Taman Sutera Utama, Skudai pada pukul 2.39 petang, 7 Jun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang mana kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd. Nizam manakala tertuduh diwakili peguam, Norfarahin Mohd. Yazid.-UTUSAN.










