Yusoff Rawther bebas tuduhan edar dadah, miliki pistol palsu

Yusoff Rawther bebas tuduhan edar dadah, miliki pistol palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam tanpa dipanggil untuk membela diri atas dua pertuduhan mengedar dadah kanabis dan memiliki dua pucuk pistol palsu, tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika membaca penghakiman ringkasnya me­nyatakan terdapat beberapa persoalan yang tidak dijawab oleh pihak pendakwaan menyebabkan terdapat jurang yang terlalu besar dalam kes itu.

“Saksi pendakwaan pertama (Ketua Serbuan Ops Laras, Bahagian Siasatan Khas (D9) menerima maklumat spesifik me­ngenai pistol dalam kereta Nissan Teana yang diletakkan di tepi jalan Bukit Kiara 1 Bukit Kiara di sini.

“Beg hitam mengandungi dua pucuk pistol berada di bawah tempat duduk penum­pang hadapan dan bungkusan plastik hitam mengandungi dadah berada di bawah tempat duduk penumpang belakang.

“Tertuduh tidak menunjukkan beg dan bungkusan plastik hitam tidak boleh dilihat sekiranya pintu belakang penum­pang tidak dibuka. Tertuduh juga tidak menunjukkan sebarang reaksi selepas beg hitam dan bungkusan plastik dijumpai,” kata hakim itu.

Tambah hakim itu, tiada kete­rangan yang menunjukkan bahawa Muhammed Yusoff berada dalam keadaan mencurigakan dan perlakuan itu selaras dengan fakta bahawa lelaki itu tidak mempunyai pengetahuan mengenai dua pucuk pistol dan dadah berkenaan.

“Keterangan yang dikemukakan hanya menunjukkan syak wasangka yang besar (grave suspicion) dan tidak mencukupi untuk membuktikan tertuduh mempunyai jagaan atau kawalan ke atas dua pistol dan dadah tersebut,” katanya.

Selain itu, Hakim Muhammad Jamil menyatakan, Muhammed Yusoff selepas beberapa hari selepas ditahan polis telah memaklumkan bahawa dia ‘adalah mangsa yang diperangkap oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim’.

“Tertuduh telah menyatakan versinya dalam kenyataan beramaran yang dibuat pada 8 September 20204 (dua hari selepas ditangkap) dan pada 10 September 2024 (empat hari selepas ditangkap) yang menyatakan adalah mangsa yang diperangkap oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pihak polis memiliki masa yang secukupnya untuk semak kebenaran versi tertuduh. Pegawai-pegawai penyiasat (SP12 dan SP13), tidak membuat siasatan untuk mengesahkan atau menyemak versi tertuduh sama ada benar atau palsu (yang dinyatakan) dalam kenyataan beramaran.

“Kegagalan SP12 dan SP13 untuk membuat siasatan bagi mengesahkan versi tertuduh telah memperjudiskan hak tertuduh untuk suatu perbicaraan yang adil,” ujar Hakim Muhammad Jamil.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×