Nyawa penumpang, amanah pemandu

Nyawa penumpang, amanah pemandu

Perodua Alza dan bas membawa pelajar UPSI yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat , Isnin lalu meruntun hati ramai pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Hati-hati! Demo bawa nyawa orang!”

Berikutan kemalangan ngeri yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik Perak pada 9 Jun lalu, banyak video dikongsi pengguna media sosial menunjukkan sikap tidak cermat sesetengah pemandu bas.

Antaranya, tindakan bahaya pemandu sebuah bas ekspres yang memotong kenderaan lain dari arah bertentangan sehingga menyebabkan pergerakan perjalanan terhenti seketika.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika berselisih dengan bas tersebut, pemandu lori yang empunya laluan menjerit memberi amaran keras kepada pemandu bas ekspres dengan dialog di atas.

Benar! Tanggungjawab pemandu kenderaan awam amat besar. Mereka bukan hanya membawa jentera gergasi berkuasa tinggi, tetapi membawa himpunan nyawa manusia yang turut menjadi kesayangan orang lain.

Kehilangan satu nyawa boleh melukakan serta menyedihkan banyak nyawa lain. Ini antara sebabnya jenayah bunuh ditentang keras oleh agama.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. (al-Maidah: 32)

Dalam Islam, menjaga nyawa menjadi objektif utama agama. Oleh itu, jenayah bunuh atau meragut nyawa perlu dibendung dan dihalang tegas. Jika sesiapa meragut nyawa seseorang secara sengaja hukumannya sangat tegas iaitu bunuh balas yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa lantikan kerajaan (al-Baqarah: 178-179 dan al-Israk: 33)

Hanya Allah satu-satu-Nya Tuhan yang mampu mencipta nyawa. Pembunuh yang mudah mencabut nyawa orang atau sesiapa yang sengaja melakukan kecuaian melampau sehingga mencetus kehilangan nyawa sebenar seakan-akan sudah mencabar Allah empunya serta pencipta nyawa semua yang bernyawa.

Lalu, apa pengajaran penting di sebalik nahas ini? Di sini penulis sarankan beberapa perkara yang mungkin boleh membantu membendung nahas yang sama berulang pada masa akan datang.

Pertama, syarikat pengendali operasi bas ekspres perlu meletakkan piawaian tinggi kepada jentera mereka dan pemilihan pemandu yang akan mengendalikan jentera syarikat.

Sikap culas dalam aspek penyelenggaraan jentera wajib dihentikan.

Berhabis kos menyelenggara jentera agar sentiasa selamat jauh lebih baik daripada menanggung rugi jika kemalangan maut berlaku.

Pemilihan pemandu juga perlu dibuat dengan betul. Hairan saya membaca laporan pemandu yang terlibat dalam nahas bas tersebut memiliki deretan saman yang belum dijelaskan.

Pemandu yang memiliki koleksi ‘hitam’ sebegini sepatutnya siang-siang lagi sudah ditapis pihak syarikat.

Jangan amalkan budaya bila terhantuk baru tengadah. Hantukan kali ini bukan hanya meninggalkan benjolan di dahi, sebaliknya mencarik luka jiwa keluarga 15 orang mangsa nahas.

Biar berapa billion ringgit pun dibayar sebagai pampasan kepada keluarga mangsa, yang pergi tidak akan kembali.

Kedua, pemandu bas yang membawa dulang penuh nyawa perlu lebih bertanggungjawab.

Didik diri agar menghayati pepatah Melayu, biar lambat asal selamat. Jangan terlalu mengikut perasaan ketika memandu kerana satu kemalangan boleh mencetus malang seumur hidup untuk anda.

Ingat pesanan Nabi SAW yang bermaksud: Tidak boleh mencetus mudarat (untuk kepentingan diri) dan dan tidak boleh menimbulkan mudarat (kepada orang lain tanpa sebab). (Sunan Ibn Majah, 2331).

Ketiga, pihak kerajaan melalui agensi yang terlibat menjaga keselamatan jalan raya perlu sentiasa memantau dan menyelenggara keadaan jalan raya.

‘Mandulkan’ tenaga batin bas ekspres pada kadar yang logik kerana semua pakar seluruh dunia pasti setuju dengan kaedah mencegah jauh lebih baik daripada merawat.

Impak kemalangan pastinya lebih terkawal apabila kelajuan sesebuah jentera dikawal.

Selain itu, wujudkan penarafan khusus kepada syarikat pengendali bas ekspres agar ia memberi manfaat dua hala kepada pengguna dan syarikat pengendali itu sendiri.

Jika kualiti servis syarikat yang merangkumi aspek penyelenggaraan jentera, pemilihan pemandu ditarafkan secara telus dan professional, pastinya syarikat pengendali akan berebut memberikan yang terbaik untuk para pengguna.

Rendah penarafan bintangnya bererti rendah kualiti perkhidmatan. Lalu rendahlah juga kadar pelanggannya. Lebih utama dan penting, pastikan tindakan memantau serta menjaga keselamatan jalan raya berlaku secara konsisten dan jangan hanya bermusim.

Jangan bertindak hanya setelah sesuatu nahas menjadi isu nasional atau setelah rombongan istana bersuara.

Keempat, pengguna khidmat syarikat bas ekspres atau pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati dalam memilih.

Keselamatan perjalanan dalam apa sahaja kenderaan dinilai pada beberapa elemen iaitu kecekapan pemandu, kecuaian orang lain, kenderaan yang diselenggara dengan baik, keadaan cuaca dan jalan raya yang baik.

Dalam empat elemen tersebut kita hanya mampu mengawal beberapa perkara sahaja. Kita mungkin cekap memandu dengan kenderaan yang selalu diselenggara dengan baik, namun malang memang tidak berbau apabila kita terpaksa bertembung dengan pemandu lain yang cuai atau keadaan cuaca serta jalan yang teruk.

Lalu apa yang boleh kita buat? Urus apa yang kita mampu kawal sedaya mampu. Serahkan elemen yang di luar kawalan kita kepada Allah Tuhan Yang Maha Menjaga dengan doa sebelum menggunakan jalan raya.

Gabungan doa dan usaha sentiasa menjadi tonggak Islam. Penulis tutup rencana ini dengan sebuah hadis yang menggambarkan betapa usaha perlu sentiasa berganding dengan doa.

Hadis bermaksud: Seorang lelaki (Ya’mur al-Sa’di) bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, apa pandanganmu tentang jampi yang dibaca, ubat yang digunakan untuk berubat dengannya dan sifat taqwa (waspada dalam agama) yang dihayati. Adakah semua itu mampu menolak (mengubah) taqdir yang buruk?” Rasulullah menjawab: “(Semua usaha itu) juga termasuk dalam takdir Allah” (Sunan al-Tirmidzi, 2065).-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini