PETALING JAYA: Punca utama nahas yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus – Sungai Lampam, Teluk Intan adalah disebabkan tindakan pemandu lori Tipper yang masuk ke lorong bertentangan.
Tindakan itu mengakibatkan pelanggaran dengan lori FRU yang ketika itu berada di arah bertentangan sehingga mengakibatkan sembilan anggotanya maut manakala sembilan lagi cedera.
Itu hasil dapatan Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam Laporan Awal Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan setebal 146 muka surat membabitkan nahas tragis yang berlaku pada 13 Mei lalu.
“Siasatan turut mengenal pasti wujudnya kelompangan dalam aspek pengurusan keselamatan dan pengoperasian kenderaan Lori Tipper.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti faktor-faktor penyumbang lain yang mungkin terlibat, termasuk faktor manusia, organisasi, kenderaan dan lain-lain yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN










