JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi kerjasama strategik dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) berjaya membangunkan teknologi robotik bagi tujuan pemetaan digital dan pengukuran diameter pokok di kawasan Hutan Simpan Pasoh, Negeri Sembilan yang merupakan tapak penyelidikan antarabangsa.
Teknologi itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program Kepersisan Biodiversiti yang memberi fokus terhadap misi pendigitalan biodiversiti negara menerusi pendekatan berteraskan teknologi tinggi.
Projek yang menelan kos RM7 juta itu bermula sejak 2022 dan kini berada pada fasa ujian akhir sebelum diguna pakai secara menyeluruh.
Lima skop utama menjadi tunjang projek itu, meliputi pembangunan pangkalan data dan integrasi data Pasoh, penyelenggaraan data serta pengecaman spesies menggunakan kecerdasan buatan (AI), pembangunan aplikasi mudah alih untuk pengumpulan data, sistem pengumpulan data serta pembinaan simulator ekologi untuk pemantauan secara masa nyata.
Ketua Penyelidik projek, Ir. Ts. Dr. Ahmad Athif Mohd. Faudzi dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM berkata, robot yang dibangunkan itu dilengkapi dengan sistem AI, sensor LiDAR dan kamera beresolusi tinggi yang mampu melakukan pemetaan digital serta pengecaman diameter pokok secara automatik.
“Robot berkaki dan beroda ini seberat kira-kira 75 kilogram dan boleh mencapai kelajuan sehingga 20 kilometer sejam.
“Ia direka khas untuk beroperasi dalam keadaan geografi yang mencabar seperti permukaan licin, akar pokok berselirat serta rintangan semula jadi hutan tropika,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, Hutan Simpan Pasoh dipilih sebagai lokasi ujian utama kerana statusnya sebagai hutan dara yang kaya dengan biodiversiti dan telah diiktiraf sebagai pusat penyelidikan bertaraf antarabangsa.
Menurut Dr. Ahmad Athif, teknologi ini dijangka membawa impak besar terhadap ketepatan data biodiversiti negara dan memperkukuhkan usaha konservasi serta pemantauan alam sekitar yang berasaskan teknologi tempatan.
“Ini bukan robot pertama yang kami bangunkan, sebelum ini, UTM turut menghasilkan robot pengawasan autonomi, robot pembersih dan pemeriksaan, robot untuk ladang sawit serta robot pendidikan STEM,” katanya. – UTUSAN










