SERDANG: Industri getah negara dijangka menerima kesan lebih ketara berbanding kelapa sawit susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balik terhadap produk import dari beberapa negara, termasuk Malaysia.
Pensyarah Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin berkata, produk keluaran getah paling terdedah kepada gangguan rantaian bekalan dan penurunan harga kerana kebergantungan tinggi terhadap pasaran AS berbanding sektor pertanian lain.
“Eksport getah ke AS menyumbang kira-kira 31 peratus daripada keseluruhan eksport pertanian negara ke negara itu, berbanding minyak sawit yang hanya sekitar 1.1 peratus.
“Maka apabila tarif dinaikkan daripada dua peratus kepada 24 peratus, kesannya lebih besar kepada industri getah kerana nilai eksportnya jauh lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan syarahan khas bertajuk Kesan Tarif AS terhadap Sektor Pertanian Negara sempena Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2025 (PKMK2025), di sini semalam.
Mad Nasir berkata, meskipun permintaan terhadap produk getah secara umumnya tidak anjal, iaitu tidak menyusut secara mendadak walaupun berlaku kenaikan harga, namun industri itu masih berisiko berdepan tekanan ekonomi.
“Apabila eksport menurun, aktiviti pemprosesan turut berkurangan, sekali gus memberi tekanan kepada harga pasaran.
“Penurunan harga ini amat membimbangkan kerana lebih 70 peratus pengeluaran getah negara disumbang oleh pekebun kecil,” katanya.
Katanya, industri minyak sawit Malaysia kurang bergantung kepada pasaran AS kerana eksport lebih tertumpu kepada negara seperti China, India, Pakistan dan negara-negara Asia Tengah.
“Jadi dari sudut keterdedahan kepada tarif baharu AS, industri sawit tidak terlalu terkesan. Malah, secara keseluruhan sektor pertanian juga tidak menerima impak sebesar sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E) yang menjadi penyumbang utama eksport Malaysia ke AS,” katanya.
Mad Nasir berkata, gangguan terhadap eksport hasil pertanian seperti getah bukan sahaja memberi kesan kepada pengeluar, malah berpotensi menjejaskan keterjaminan makanan negara.
“Walaupun Malaysia bukan pengeksport utama makanan, apabila pendapatan negara terjejas akibat kejatuhan eksport, pendapatan per kapita rakyat juga akan merosot. Ini memberi kesan kepada kebolehcapaian rakyat terhadap makanan.
“Dalam konteks keterjaminan makanan, aspek kebolehcapaian ini amat penting kerana ia berkait rapat dengan pendapatan isi rumah,” katanya.-UTUSAN










