Mengapa kemalangan bas terus berulang?

Mengapa kemalangan bas terus berulang?

STATISTIK menunjukkan Malaysia mencatatkan banyak insiden kemalangan maut membabitkan bas sejak beberapa dekad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMALANGAN melibatkan kenderaan berat seperti lori dan bas menjadi antara penyumbang utama statistik kemalangan maut di negara ini.

Kemalangan tragis yang melibatkan kenderaan bersaiz besar sering meragut nyawa pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah. Persoalannya, mengapa masalah ini terus berlarutan?

Bulan lalu, negara berdukacita dengan tragedi nahas jalan raya melibatkan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang meragut sembilan nyawa dan mencederakan anggota pasukan keselamatan negara. Dan Isnin lalu, kita sekali lagi berduka apabila nahas kemalangan bas ekspres yang membawa 44 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk pulang ke kampus selepas cuti hari raya haji pula berlaku. Kemalangan ngeri yang berlaku di Gerik, Perak itu meragut nyawa 15 nyawa mahasiswa.

Situasi ini membangkitkan persoalan yang lebih besar, sejauh mana keselamatan jalan raya di Malaysia benar-benar terjamin, terutama apabila membabitkan kenderaan berat?

Kemalangan jalan raya yang melibatkan bas sering kali mengundang perhatian masyarakat, terutamanya apabila menjadi punca kehilangan nyawa secara besar-besaran. Data sejarah menunjukkan Malaysia mencatatkan beberapa insiden kemalangan maut membabitkan bas sejak beberapa dekad lalu sekali gus mencerminkan isu keselamatan yang berulang dan perlu ditangani secara serius.

Sehubungan itu, beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan sistematik bagi mengelakkan kemalangan seperti ini terus berulang. Antaranya, penguatkuasaan terhadap aspek teknikal dan operasi kenderaan awam perlu diperketat.

Bas yang membawa penumpang dalam jumlah yang besar harus sentiasa berada dalam keadaan terbaik dari segi brek, tayar, lampu dan kestabilan struktur. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) perlu bekerjasama menjalankan pemeriksaan teknikal secara berkala, khususnya terhadap bas ekspres dan bas pelancongan yang melibatkan perjalanan jarak jauh.

Setiap syarikat pengangkutan awam wajar diwajibkan menjalani audit keselamatan berkala bagi memastikan pematuhan terhadap spesifikasi kejuruteraan dan peraturan lalu lintas jalan raya. Di samping itu, penambahbaikan polisi penting seperti mewajibkan pelaksanaan sistem pengurusan fleet yang komprehensif harus dilaksanakan di peringkat nasional. Sistem ini bukan sahaja membolehkan pemantauan prestasi kenderaan dan pemandu secara masa nyata, malah boleh mengesan corak pemanduan berisiko tinggi melalui teknologi seperti Sistem Pengesanan Global (GPS), telematik, sensor kestabilan dan brek kecemasan automatik.

Memandangkan Malaysia kini semakin maju dalam bidang kecerdasan buatan (AI), sudah tiba masanya teknologi ini diintegrasikan secara menyeluruh dalam sistem pengangkutan awam.

Melalui AI, data operasi kenderaan dan tingkah laku pemandu dapat dianalisis secara pintar untuk meramalkan risiko kegagalan sistem, mengesan tabiat pemanduan agresif serta mencadangkan langkah-langkah intervensi lebih awal bagi mencegah kemalangan sebelum ia berlaku.

Satu aspek penting yang sering diabaikan adalah pematuhan terhadap penyelenggaraan pencegahan. Syarikat pengangkutan perlu memastikan setiap bas menjalani pemeriksaan berkala dan diselenggara mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros) dan JPJ.

Penyelenggaraan ini harus meliputi sistem brek, sistem stereng, tayar, lampu dan komponen keselamatan lain.

Sebaliknya, penyelenggaraan pembetulan perlu dilaksanakan segera apabila berlaku sebarang kerosakan atau kegagalan sistem demi memastikan keselamatan tidak dikompromi.

Pemandu bas juga memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain. Oleh itu, mereka perlu mengikuti latihan pemanduan defensif dan kursus khas berkaitan pengendalian kenderaan besar dalam situasi kecemasan. Latihan ini seharusnya dijadikan sebahagian daripada syarat pembaharuan lesen vokasional (GDL/PSV) dan dilaksanakan secara berkala bagi memastikan tahap kompetensi pemandu kekal tinggi.

Pensijilan semula juga boleh menjadi satu mekanisme kawalan mutu terhadap kecekapan pengendalian bas. Selain itu, penjadualan laluan dan waktu operasi bas perlu dikaji semula, terutamanya bagi laluan yang berisiko tinggi seperti kawasan berbukit, selekoh tajam dan lebuh raya sesak. Perancangan ini penting untuk mengelakkan pertindihan antara operasi bas dan waktu puncak kenderaan lain serta bagi memastikan pemandu tidak keletihan akibat tekanan jadual ketat.

Akhir sekali, kerjasama antara agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), JPJ, Miros, dan pengendali pengangkutan awam perlu diperkukuh dalam menyusun semula garis panduan keselamatan bas.

Pelaksanaan audit forensik pasca kemalangan, latihan pengurusan risiko serta platform aduan awam perlu menjadi sebahagian daripada sistem keselamatan jalan raya yang mampan dan menyeluruh.

Syarikat-syarikat pengangkutan sewajarnya menyedari pelaburan dalam sektor ini tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek keselesaan penumpang semata-mata demi meraih keuntungan.

Realitinya, keselamatan penumpang adalah nilai utama yang perlu diberikan perhatian setara, malah lebih utama kerana ia melibatkan nyawa manusia.

Tidak cukup sekadar menyediakan tempat duduk empuk, penghawa dingin atau sistem hiburan jika aspek seperti penyelenggaraan kenderaan, latihan pemandu dan pematuhan standard keselamatan diabaikan.

Pelaburan jangka panjang dalam teknologi pemantauan seperti sistem pengurusan fleet, latihan pemanduan berhemah serta audit keselamatan berkala bukan sahaja dapat mencegah tragedi, malah meningkatkan kepercayaan awam terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

Dalam erti kata lain, keselamatan ialah asas sebenar kepada kelestarian keuntungan dalam industri pengangkutan.

Setiap tragedi yang berlaku seharusnya menjadi pencetus kepada perubahan dasar dan tindakan serius, bukan sekadar catatan duka dalam sejarah keselamatan negara. Kehilangan nyawa, terutamanya apabila melibatkan penumpang awam, mereka harus dilindungi melalui dasar yang menyeluruh, latihan yang mencukupi dan pematuhan ketat terhadap standard keselamatan di jalan raya. – UTUSAN

DR. Zuritah A.Kadir ialah Pensyarah Kanan Program Sarjana Muda Teknologi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dengan Kepujian, Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

DR. Azuwien Aida Bohari ialah Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Kejuruteraan Elektrik Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×