Abdul Raof dilantik pemangku Ketua UMNO Kota Raja

Abdul Raof dilantik pemangku Ketua UMNO Kota Raja

MEGAT Zulkarnain Omardin bergambar bersama perwakilan pada Mesyuarat Perwakilan Sayap-Sayap UMNO negeri di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC). - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Abdul Raof Mokhtar dilantik sebagai pemangku Ketua UMNO Bahagian Kota Raja susulan perletakan jawatan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Ketua UMNO pada 30 Mei lalu.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin ketika mengesahkan perkara itu berkata, Abdul Raof yang juga Timbalan Ketua bahagian secara automatiknya memangku jawatan tersebut.

Jelas beliau, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk dibawa dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Yang pergi, biarlah pergi. Namun, yang tinggal saya fikir adalah mereka yang akan terus berjuang membawa panji dan semangat UMNO termasuk Kota Raja.

“Saya bangga dengan Raof bersama Naib Ketua Bahagian, pemimpin sayap dan jawatankuasanya yang kekal meneruskan perjalanan aktiviti seperti biasa,” katanya pada sidang akhbar perasmian Mesyuarat Perwakilan Sayap UMNO negeri di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, malam tadi.

Menurut Megat yang juga Ahli MKT UMNO, pihaknya turut gembira apabila tiada cawangan Kota Raja ditutup setakat ini.

“Walaupun berdepan kemelut sejak beberapa bulan lalu, Pergerakan Puteri bahagian itu juga berjaya menambah jumlah keahliannya. Jadi, kami (perhubungan negeri) akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Kota Raja,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya enggan melihat isu Tengku Zafrul itu seolah-olah menjadikan UMNO Selangor tidak boleh bergerak ke mana-mana.

“Kita tidak mahu terganggu dengan keputusan (Zafrul) itu. Saya ada bertemu dengan beliau dalam satu majlis dan kita tiada masalah serta hubungan persahabatan juga macam biasa.

“Parti ini bukan kerana seorang personaliti semata-mata namun ia adalah we (kita) dan perjuangan mesti diteruskan,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Tengku Zafrul mengumumkan perletakan semua jawatannya dalam UMNO bagi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas mempertimbangkan pelbagai perkara dan mendapat pandangan ahli politik termasuk Ahmad Zahid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×