Malaysia agen kestabilan, kemajuan, perpaduan ASEAN

Malaysia agen kestabilan, kemajuan, perpaduan ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMILIHAN Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN kali ini secara tidak langsung bertepatan dengan ulang tahun ke-10 penubuhan komuniti ASEAN, menjadikan tahun ini sangat penting kepada negara sebagai pengerusi baharu untuk memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama serantau.

Bagi memastikan agar ASEAN terus stabil dan aman, Malaysia perlu memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan negara anggota ASEAN. Semasa sidang kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur, Malaysia perlu berusaha meyakinkan dan memastikan negara-negara anggota ASEAN kekal bersatu terutamanya dalam usaha menangani isu serantau mahupun global.

Tindakan ini penting kerana dapat memastikan ASEAN dilihat sebagai kuasa kolektif yang berprinsip dan tidak mudah dipengaruhi oleh pihak ketiga.

Malaysia juga perlu menunjukkan contoh teladan yang baik dengan cara mempamerkan semangat kerjasama yang tinggi dan sentiasa menghormati negara-negara anggota yang lain sepanjang tempoh menjadi Pengerusi ASEAN.

Persepsi positif dalam kalangan negara anggota terhadap Malaysia amat penting jika ingin memainkan peranan sebagai pemudah cara atau pengantara dialog yang berkesan khususnya semasa menguruskan pertikaian antara negara anggota atau ASEAN dengan kuasa luar. Keadaan ini juga dapat melancarkan usaha Malaysia untuk menganjurkan mesyuarat dan perbincangan diplomatik yang efektif.

Selain daripada aspek politik-keselamatan, kepengerusian Malaysia juga seharusnya membantu ASEAN untuk mengukuhkan ekonomi serantau. Perkara ini dapat dicapai dengan menggalakkan pelaksanaan penuh Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan merancakkan semula Perkongsian

Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). Perjanjian perdagangan bebas tersebut mampu mengurangkan halangan perdagangan seperti cukai import (tarif) dan sekatan bukan tarif, memudahkan aliran pelaburan asing antara negara anggota, meningkatkan kerjasama ekonomi dan teknikal serta menyelaraskan peraturan dan standard perdagangan, seperti harta intelek dan e-dagang di rantau Asia Tenggara.

Sekiranya ASEAN berjaya memanfaatkan AFTA dan RCEP, maka pembangunan ekonomi ASEAN akan berkembang maju kerana berpotensi memperluas pasaran yang lebih besar kepada barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh negara anggota ASEAN. Usaha ini juga menggalakkan kemasukan pelaburan asing langsung (FDI) sekali gus membantu peniaga kecil sederhana (PKS) di rantau ini untuk bersaing secara sihat dan kompetitif apabila akses pasaran terbuka luas.

Bagi menjamin kelangsungan ASEAN sebagai organisasi serantau yang relevan, Malaysia perlu bersedia untuk mendepani pelbagai ancaman keselamatan yang bersifat tradisional dan bukan tradisional seperti isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan, persaingan negara kuasa besar AS-China di Asia Tenggara, perubahan iklim dan bencana alam, isu keselamatan siber dan ancaman digital serta masalah jurang pembangunan antara negara ASEAN yang semakin meruncing.

Justeru itu, Malaysia perlu mengukuhkan diplomasi serantau serta mewujudkan ruang dialog yang inklusif dan neutral sekiranya ingin mencari solusi kepada krisis yang berlaku di Myanmar dan konflik di Laut China Selatan.

Malaysia juga berperanan untuk memperkukuhkan kesatuan ASEAN agar kuasa luar tidak dapat menggugat kesepakatan serantau. Perpaduan dalam kalangan negara ASEAN amatlah penting bagi memastikan ancaman keselamatan yang bersifat bukan tradisional seperti isu alam sekitar, isu keselamatan siber dan digital, jenayah rentas sempadan serta jurang pembangunan antara negara anggota dapat diselesaikan secara kolektif sekaligus menjamin keamanan dan kestabilan di rantau Asia Tenggara. – UTUSAN

MUHAMMAD SYAKIR IDRIS
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×