'Nurly Shahirah pergi bersama al-Quran'

‘Nurly Shahirah pergi bersama al-Quran’

TANGKAP layar Facebook Najmuddin menunjukkan tulisan al-Quran pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Shahirah Azman, 23, yang maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Adik, aku cemburu dengan kau.”

Itulah luahan abang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Shahirah Azman, 23, yang maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, Isnin lalu.

Pemergian pelajar itu dikenang sebagai seorang yang begitu mencintai Al-Quran termasuk menghafal kitab suci tersebut. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Menerusi sebuah perkongsian abangnya, Najmuddin Azman berkata, arwah adiknya itu telah menghasilkan mushaf Al-Quran tulisan tangan sendiri sebagai salah satu usaha mengukuhkan hafalan 30 juzuk yang dihafalnya. 

“Arwah suka mengulang Al-Quran. Dia tulis sendiri satu Al-Quran dengan tangan untuk kuatkan hafalan. Dia juga tidak pernah tinggal ulang bacaan setiap hari,” katanya. 

Najmuddin turut memuat naik gambar helaian mushaf tulisan tangan arwah yang kemas dan tersusun rapi. 

Katanya, urusan pengebumian adiknya selesai sekitar pukul 5 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Terengganu selepas disolatkan di Masjid Hadhari, Jerteh.

“Pemergianmu dicemburui ramai orang, adik. Ramai yang tertanya-tanya apakah amalanmu? Aku hanya mampu jawab, kau seorang anak yang taat, selalu baca al-Quran dan jaga ibu bapa serta adik-beradik,” katanya.

Najmuddin berkata, orang ramai berpusu-pusu datang ke rumah keluarga mereka untuk menziarahi jenazah, termasuk yang tidak mengenali arwah secara peribadi.

“Ada yang datang dari jauh semata-mata ingin kenal siapa mak dan ayah Nurly. Semalam selepas solat, ramai berebut mahu angkat jenazah. Aku tak kenal pun siapa mereka, tapi mereka semua nak tolong bawa,” katanya.

Katanya lagi, kawan-kawan arwah memaklumkan bahawa ketika kemalangan berlaku, arwah sedang memeluk al-Quran di dadanya sehingga ke akhir hayat.

“Betapa indah kiriman Allah buatmu, adik. Kau menyedarkan aku, keluarga dan orang Islam betapa hebatnya mukjizat al-Quran. Semoga syurga tertinggi untukmu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×