JOHOR BAHRU: Sebanyak 5,744 saman melibatkan pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri ini sepanjang Op Khas sempena Hari Raya Aidiladha bermula 4 hingga 10 Jun lalu.
Pengarah JPJ negeri, Azmil Zainal Adnan berkata, sebanyak 45,395 buah kenderaan diperiksa dalam operasi tersebut dengan 83 sitaan dilakukan melibatkan 66 motosikal, sembilan kereta dan lapan lain-lain kenderaan.
Menurutnya, kesalahan tertinggi adalah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), iaitu sebanyak 1,264 atau 22 peratus, diikuti gagal memperbaharui atau tidak mempunyai lesen memandu sebanyak 1,163 saman atau 20 peratus, 1,021 kes atau 18 peratus saman tiada perlindungan insurans dan tiada lesen vokasional sebanyak 134 saman.
“Saman turut dikeluarkan melibatkan kesalahan memotong sebelah kiri, memotong di garisan berkembar, tidak patuh lampu isyarat merah, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memandu di lorong kecemasan serta tidak memakai tali pinggang keselamatan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Pihaknya tidak berkompromi dengan syarikat, pemilik atau para pemandu yang melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan.
“Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya lebih selamat kepada semua pengguna,” katanya.
Tindakan penguatkuasaan dibuat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kaedah-kaedah di bawahnya. – UTUSAN










