PETALING JAYA: Ketiadaan pengganti khusus dalam acara papan anjal wanita menjadikan Nur Dhabitah Sabri terus menjadi sandaran utama negara untuk Kejohanan Dunia 2025.
Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low berkata, tiada atlet lain disenaraikan secara tetap untuk menggantikan tempat Dhabitah dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu dan seirama.
Beliau bagaimanapun menegaskan, penyertaan atlet berusia 26 tahun itu ke Kejohanan Dunia di Singapura bulan depan tetap bergantung kepada prestasi semasa dan pencapaian skor kelayakan minimum (MQS).
“Buat masa ini, kita tiada pengganti khusus untuk acara-acara yang biasa Dhabitah sertai, jadi dia masih kekal sebagai calon utama.
“Kita beri ruang untuk dia kembali cergas sepenuhnya, dan jika dia capai skor MQS, tiada sebab untuk tidak menyenaraikannya ke kejohanan itu,” kata Andy kepada Utusan Malaysia
Dhabitah bakal kembali menjalani latihan dalam masa terdekat selepas berehat sejak Disember lalu atas sebab peribadi meskipun kali terakhir beraksi cemerlang meraih tiga pingat emas di Terbuka Malaysia.
Dalam pada itu, Andy turut memaklumkan senarai akhir penerjun ke Kejohanan Dunia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat kerana temasya itu dijadual bermula 11 Julai ini.
Malaysia dijangka menurunkan beberapa penerjun dalam acara utama, namun penyertaan Dhabitah kekal menjadi tumpuan memandangkan pengalaman dan reputasinya sebagai penyumbang pingat konsisten negara. – UTUSAN








