Mikayla Delicious sasar hasil RM1 juta tahun ini

Mikayla Delicious sasar hasil RM1 juta tahun ini

TARMIDI Md Nor (kiri) ketika ditemui di Showcase Teknologi (ShowTech) Mardi 2025 baru-baru ini.–UTUSAN/SABRINA ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar makanan sejuk beku tempatan, Mikayla Delicious menyasarkan peningkatan pendapatan mencecah RM1 juta pada tahun ini, dipacu oleh permintaan berterusan terhadap produk makanan serta strategi pengembangan pasaran secara berperingkat.

Menurut Pengarah Pemasaran Mikayla Delicious, Tarmidi Md. Nor, syarikat itu telah mencatat pendapatan kira-kira RM300,000 pada tahun lalu dan kini berjaya mencapai 65 peratus daripada sasaran tahunan untuk 2025.

“Kami optimis untuk capai satu juta tahun ini, tetapi perlu ada perancangan dan pencapaian berperingkat. Buat masa ini kami telah tetapkan penanda aras untuk setiap suku tahun.  

“Pendapatan syarikat menunjukkan pertumbuhan tahunan sekitar 40 peratus berbanding tahun sebelumnya, dan kini meningkat hampir 65 peratus setakat pertengahan tahun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas prospek industri makanan, beliau menjangkakan permintaan terhadap produk makanan khususnya sejuk beku akan terus meningkat, selaras dengan perubahan persepsi masyarakat terhadap kualiti produk sejuk beku.

“Dulu ramai anggap makanan sejuk beku ni tak sihat, tapi sekarang pengguna lebih terbuka. Kami jaga kualiti supaya produk tetap rasa segar walaupun telah disimpan lama,” jelasnya.

Mikayla Delicious ketika ini memasarkan produknya di pasar mini sekitar Lembah Klang dan Melaka, serta dalam proses memasuki pasaran Perak.

“Walaupun kami sudah layak untuk masuk ke pasar raya besar, kami masih kecil dari segi kapasiti. Sebab itu kami pilih pendekatan masuk ke pasar mini dan kedai Aceh terlebih dahulu sebagai langkah strategik ‘road to pasar raya’,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa syarikat itu sedang dalam usaha mendapatkan pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) bagi membolehkan produk Mikayla Delicious dipasarkan ke luar negara.

Setakat ini, produk mereka telah menyertai festival makanan halal di Pattani, Thailand dan menerima permintaan dari beberapa negara seperti Thailand, Brunei, Indonesia, China dan Jepun.

“Kami pernah tersenarai untuk Sukan Olimpik di Jepun, tapi disebabkan Covid-19 pada 2020, peluang itu terpaksa dilepaskan,” katanya.

Tambah beliau, cabaran utama yang dihadapi syarikat adalah kenaikan kos bahan mentah yang memberi tekanan terhadap margin keuntungan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×