Jemaah haji teruskan ibadat di Muzdalifah

Jemaah haji teruskan ibadat di Muzdalifah

JEMAAH haji melaksakan ibadah melontar jamrah sebagai sebahagian daripada ibadah haji di Tanah Suci Mekah.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINA: Kesemua 31,600 jemaah jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Muzdalifah sebelum meneruskan perjalanan ke Mina setelah selesai menunaikan ibadah wukuf di Arafah, kelmarin.

Mereka bergerak ke Muzdalifah sejurus selepas waktu Maghrib, sekitar pukul 7.01 malam dan bermabit di Muzdalifah bermula 11.36 malam.

Operasi masyair adalah kemuncak keseluruhan operasi haji yang melibatkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi tempoh lima hari bermula 8 hingga 13 Zulhijjah untuk menyempurnakan ibadah rukun dan wajib haji.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji (TH), Shahrin Awaludin berkata, TH mengadakan sesi tazkirah dan bimbingan ‘Bicara Mina’ dalam mengisi tempoh panjang jemaah haji ketika mabit di Mina.

“Aktiviti ini bagi membimbing jemaah haji Malaysia memahami maksud di sebalik setiap rukun dan wajib haji termasuk dalam ibadah melontar. TH turut mengadakan sesi bimbingan dan tazkirah kepada jemaah haji selepas solat subuh dan zuhur sepanjang berada di Mina.

“Ini bagi mengingatkan mereka tentang panduan ibadah termasuk lontaran jamrah, tahalul awal serta perbezaan antara nafar awal dan nafar thani,” katanya di sini baru-baru ini.

Selain itu, ujarnya, jemaah turut digalakkan untuk memanfaatkan masa yang panjang di Mina dengan memperbanyakkan ibadah kendiri seperti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan aktiviti kerohanian yang bermanfaat.

Mengulas lanjut, Shahrin berkata, jemaah haji diingatkan agar menghayati ibadah melontar di tiga jamrah yang bukan sekadar memenuhi syarat wajib haji sebaliknya tanda penolakan sifat-sifat sombong dan tercela dalam diri manusia.

Katanya, ibadah melontar di Jamrah Ula, Wusta dan Kubra membawa maksud yang lebih mendalam sebagai simbol pembaharuan diri dan penolakan sifat-sifat mazmumah dalam kehidupan seorang Muslim.

Menurutnya, aktiviti melontar yang dilaksanakan dari 10 hingga 13 Zulhijjah tersebut meneladani sunnah Nabi Muhammad serta menghidupkan kembali jejak pengorbanan Nabi Ibrahim.

“Ia simbolik bagi membuang sifat-sifat mazmumah seperti sombong, ingkar dan segala sifat tercela dalam diri serta menjadi satu ikrar rohani agar jemaah berubah menjadi insan yang lebih baik selepas menunaikan haji.

“Melontar bukan semata-mata lemparan batu, tetapi satu pengisytiharan hati bahawa kita sanggup berubah, meninggalkan kejahatan, dan kembali kepada fitrah,” katanya.

Ujarnya, ibadah itu bukan sahaja menuntut kekuatan fizikal, malah merupakan amalan rohani yang selari dengan matlamat haji untuk membawa pulang jiwa yang bersih dan hati yang tunduk kepada Allah.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini