WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap empat hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang didakwa melakukan tindakan tidak sah kerana menyasarkan AS dan sekutunya, Israel.
Setiausaha Negara, Marco Rubio mengumumkan tindakan tersebut dalam satu kenyataan pada Khamis. Sekatan itu menyasarkan Solomy Balungi Bossa dari Uganda, Luz del Carmen Ibáñez Carranza dari Peru, Reine Adelaide Sophie Alapini-Gansou dari Benin dan Beti Hohler dari Slovenia dengan mereka tidak dibenarkan masuk ke AS.
Langkah ini diambil susulan arahan daripada Presiden Donald selepas mahkamah itu mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.
Dua daripada hakim yang dikenakan sekatan adalah mereka yang meluluskan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant manakala dua lagi telah membenarkan siasatan ICC terhadap salah laku yang melibatkan anggota tentera AS di Afghanistan.
“Sebagai hakim ICC, keempat-empat individu ini terlibat secara aktif dalam tindakan mahkamah yang tidak sah dan tidak berasas yang menyasarkan AS atau sekutu rapat kami, Israel.
“ICC telah dipolitikkan dan secara salah mendakwa mempunyai kuasa mutlak untuk menyiasat, mendakwa dan menghukum rakyat AS serta sekutu kami. Tindakan berbahaya dan penyalahgunaan kuasa ini mencabuli kedaulatan dan keselamatan AS serta sekutunya termasuk Israel,” kata Rubio.
Keputusan untuk melaksanakan sekatan ini dijangka meningkatkan lagi ketegangan antara Trump dan ICC serta organisasi antarabangsa lain yang sebelum ini sering dianggap Trump sebagai berat sebelah dan bermotifkan politik.
Dalam satu kenyataan, ICC menyuarakan rasa kesal terhadap tindakan sekatan baharu tersebut.
“Tindakan ini jelas merupakan cubaan untuk melemahkan kebebasan institusi kehakiman antarabangsa yang beroperasi atas mandat daripada 125 negara anggota dari seluruh dunia,” menurut kenyataan ICC.
Wakil Persekutuan Antarabangsa bagi Hak Asasi Manusia (FIDH) ke ICC Danya Chaikel berkata, jenis sekatan yang dikenakan oleh pentadbiran Trump pada asalnya dirangka untuk menyasarkan rangkaian pengganas seperti ISIS, penyeludup senjata dan pelanggar hak asasi manusia, bukannya institusi keadilan antarabangsa.
“Menggunakannya terhadap pegawai ICC merupakan penyalahgunaan kuasa eksekutif yang berbahaya dan memesongkan tujuan asal sekatan. Ia memberi mesej yang menakutkan mengenai menegakkan keadilan,” katanya. – AGENSI










