Hijrah Ayana bersulam tawa, air mata

Hijrah Ayana bersulam tawa, air mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seawal usia tujuh tahun, Ayana Jihye Moon sudah terdedah dengan isu-isu semasa dan perihal politik yang sering menjadi perbincangan di rumahnya.

Ibu bapa dan datuknya sering membicarakan mengenai perang di Iraq sekali gus mendorongnya untuk mendalami konflik di Asia Barat.

Daripada situ, barulah beliau tahu negara yang bergolak itu mengamalkan ajaran Islam.

Pada pemahamannya ketika itu, Islam kedengaran seperti tidak adil dan ‘pelik’ kerana wanita perlu menutup aurat dan sujud beberapa kali dalam sehari.

“Namun, dalam masa sama saya tertanya-tanya kenapa lebih daripada satu billion (ketika itu) orang di dunia memilih mengamalkan Islam. Jadi, saya mula belajar tentangnya melalui buku-buku dan dokumentari.

“Di usia 16 tahun saya nekad memeluk Islam,” katanya kepada Seri.

Lahir dalam keluarga berada dengan rupa paras menawan menjadi satu kelebihan buat Ayana.

Gadis asal Seoul, Korea Selatan ini juga terkenal di sekolah kerana kepintarannya dalam akademik.

Kehidupannya boleh dikatakan empurna, namun, segala kemewahan dan kelebihan itu hilang sekelip mata selepas penghijrahannya ke Islam dan Malaysia untuk mendalami ilmu agama.

Baginya, Malaysia merupakan negara yang tepat untuk menyambung pelajaran, sekali gus memperkukuhkan jati diri sebagai muslim.

Sudah tentu, penghijrahannya mendapat tentangan ibu bapa lantas menyebabkan hidupnya bagaikan anak yatim di bumi asing.

Beliau terpaksa bekerja keras sebagai model demi menampung hidup dan membiayai pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dalam bidang sains politik.

“Saya ke sini di usia 20 tahun dengan berbekalkan sedikit duit tanpa keluarga, rakan dan tempat tinggal.

“Ketika itu, saya hanya mampu menyewa bilik kecil yang dilengkapi sebuah katil untuk tidur dan keadaannya sangat daif.

“Hidup saya sangat susah sampai saya persoalkan kenapa tuhan uji saya begini sedangkan saya sedang menuju ke jalan-Nya?

“Tetapi, saya tidak putus asa dan perlahan-lahan saya mulakan kerjaya sebagai model untuk tampung kos pengajian. Dalam masa dua tahun saya bangkit semula,” kata konsultan perniagaan dan penulis di Malaysia dan Indonesia ini.

Ayana bersyukur kerana kedua-dua negara jiran itu menerima dan memberi peluang padanya untuk membina kerjaya.

Beliau juga aktif mengeratkan hubungan antara Korea dan Malaysia menerusi penganjuran forum berkaitan perniagaan.

ISLAM UBAH DIRI LEBIH BAIK
Namun, selepas hujan, hadirlah pelangi. Di sebalik segala jerih payah dialami, rupanya ada hikmah tersembunyi.

Islam bukan sahaja membuka dimensi baru bagi wanita berusia 29 tahun ini, malah membentuk dirinya menjadi lebih baik.

Tanpa berselindung, Ayana mengakui yang dirinya dahulu sombong disebabkan latar belakang keluarga yang kaya dan popular di sekolah.

Kelebihan itu menyebabkan dia mendongak ke langit dan tidak menghiraukan keadaan sekeliling, baginya dunia hanya berkisarkan tentang dirinya.

Beliau juga enggan bersosial dengan rakan-rakan di sekolah kerana berasa dirinya akan sentiasa diperlukan.

Namun, penghijrahannya benar-benar membuka matanya mengenai realiti sebenar hidup.

Di saat bersendirian di negara asing, beliau sedar perlu lebih merendah diri.

“Di usia 20 tahun ketika itu, saya tiada apa-apa dan mula sedar untuk masuk ke dalam masyarakat di sini saya harus memulakan langkah dahulu.

“Daripada golongan majoriti saya akhirnya jadi minoriti dan perlu memperkenalkan diri untuk bersosial. Ia ubah diri saya jadi lebih merendah diri,” katanya.

YAYASAN PERKASA WANITA
Disebabkan itu juga tertubuhnya Yayasan Ayana di UIAM bagi membantu pelajar wanita kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran.

Usaha murninya itu bertujuan memperkasa dan meningkatkan daya saing wanita dalam dunia pekerjaan.

“Saya terbayangkan diri saya dulu betapa susahnya untuk mencari duit menyara pengajian. Kini, dengan rezeki yang ada, saya mahu membantu wanita lain yang mungkin menghadapi nasib sama.

“Kami beri biasiswa kepada pelajar wanita B40 dan pemilihan dibuat berdasarkan pencapaian dalam pembelajaran. Saya ingin membantu wanita yang ada usaha membantu diri sendiri,” kongsinya.

Baginya hanya pelajaran yang dapat membantu memberikan kehidupan lebih baik dan disebabkan itu beliau sangat mementingkan pelajaran.

Apa tidaknya, sejak sekolah menengah beliau memperoleh gred terbaik, malah di universiti, meskipun berperang antara belajar dan kerjaya sambilan, beliau tetap lulus dengan cemerlang.

Baginya, tiada jalan mudah untuk menggapai kejayaan, malah beliau tidak pernah berhenti belajar walau di mana berada.

Di set penggambaran iklan, dalam kapal terbang dan di mana-mana sahaja, pasti bahan bacaan dibawa bersama.

“Saya belajar tanpa henti. Ada masanya sampai muntah sebab banyak sangat yang perlu dilakukan dalam sehari. Tetapi selepas muntah, saya teruskan membaca dan belajar,” ujarnya yang turut terlibat dalam penyelidikan berkaitan Islam.

AIR DICINCANG TIDAK PUTUS
Hidupnya kini berulang-alik dari Malaysia dan Indonesia atas urusan kerja.

Adakalanya, Ayana pulang ke Korea untuk menjenguk keluarga.

Biarpun penghijrahannya tidak mendapat restu, namun anak sulung ini mengakui hubungan kekeluargaan tidak sesekali putus bagai air yang mengalir.

“Tidak mengapa jika ibu bapa tidak menerima pilihan saya kerana akhirnya yang menjalani kehidupan itu adalah diri saya sendiri.

“Kami tetap berhubungan baik. Mereka hanya tidak menerima agama saya, tetapi tetap sayangkan saya sebagai anak,” katanya.

Jauh di sudut hati, beliau menyimpan impian agar ibunya turut menerima hidayah suatu hari nanti seperti adik lelakinya, Aydin Moon.

“Adik saya menerima Islam kerana sudah terbiasa melihat saya solat dan sering bercakap mengenai halal haram sejak dia kecil lagi.

“Keinginan itu datang sendiri. Bagi ibu bapa pula saya sentiasa doakan yang terbaik,” katanya.

Ketika ditanya soal jodoh, wanita berkulit putih gebu mengesahkan hatinya belum dimiliki.

“Saya serahkan semuanya pada takdir. Saya idamkan sosok lelaki yang bertanggungjawab dan boleh membimbing saya dengan baik dalam agama,” katanya menutup bicara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×