Sancho kembali ke Old Trafford   

Sancho kembali ke Old Trafford   

Jadon Sancho
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pemain sayap England, Jadon Sancho akan pulang ke pangkuan Old Trafford selepas Chelsea memilih untuk membayar bayaran penalti lima juta pound (RM28.69 juta) kepada Manchester United bagi membatalkan perpindahan tetapnya ke Stamford Bridge.

Sancho yang dipinjamkan ke Chelsea musim lalu dijangka kekal bersama The Blues dengan bayaran perpindahan 25 juta pound (RM143.45 juta) namun rundingan berkenaan tergantung tanpa persetujuan susulan syarat peribadi kontrak sekali gus menyebabkan urusan terhenti.

Sancho bakal kembali menyertai United dengan kontrak asalnya masih berjalan sehingga akhir musim depan manakala tempoh pinjamannya bersama Chelsea akan tamat hujung bulan ini.

“Bersyukur atas pengalaman itu. Sanjungan yang besar kepada semua orang di Chelsea yang membuatkan saya berasa seperti di rumah sendiri termasuk rakan sepasukan, kakitangan dan peminat. 

“Semoga yang terbaik untuk kelab lebih maju ke hadapan. Sungguh bersyukur, terima kasih Blues,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, perjanjian pinjaman Sancho tidak melibatkan sebarang bayaran awal, namun disertakan dengan klausa keluar yang membenarkan Chelsea menarik diri daripada pembelian kekal dengan membayar pampasan.

Dalam konteks dalaman kelab, bayaran lima juta pound (RM28.69 juta) itu dianggap setara dengan yuran pinjaman yang pernah dibayar Aston Villa untuk mendapatkan Axel Disasi.

Sancho bergelut untuk konsisten sepanjang musim 2024-25, walaupun dia menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Liga Konferens menentang Real Betis yang dimenangi Chelsea 4-1.

Dia menjadi pemain yang popular di kalangan rakan sepasukan Chelsea, walaupun pengurusan kelabnya, Enzo Maresca berkata, mereka mahu menunggu sehingga tamat musim sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya.

United menandatangani Sancho dengan nilai 73 juta pound (RM418.88 juta) pada 2021 selepas mempamerkan aksi memberangsangkan di Borussia Dortmund. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×