PETALING JAYA: Perang Gaza dijangka berterusan ekoran tindakan Israel yang gagal mematuhi pelan damai sebaliknya tetap melancarkan serangan ke atas penduduk Palestin.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, antara tuntutan utama yang masih tidak dipenuhi termasuk pengunduran penuh tentera rejim Zionis dari seluruh wilayah Gaza, seperti yang dirangka dalam fasa kedua dan ketiga pelan gencatan senjata.
“Setakat ini hanya fasa pertama sahaja yang dibincangkan dan malangnya fasa kedua dan ketiga yang merangkumi penghentian perang secara menyeluruh serta pengunduran tentera dari Gaza telah ditolak oleh tentera Zionis.
“Sangat sukar untuk kita jangkakan apa yang berlaku selepas ini. Berdasarkan keengganan rejim Zionis menghormati pelan damai yang disepakati, kebarangkalian besar peperangan akan terus berlanjutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terkini, Mesir dan Qatar menyatakan harapan agar persetujuan segera dicapai berhubung cadangan gencatan senjata sementara selama 60 hari antara Israel dan Hamas bagi membuka jalan ke arah gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza.
Meskipun terdapat tekanan antarabangsa termasuk campur tangan dari Amerika Syarikat (AS), Nadir berkata, tiada sebarang perkembangan signifikan berlaku yang menunjukkan komitmen sebenar untuk menghentikan peperangan.
“Campur tangan besar dari AS juga tidak membuahkan hasil. Misalnya, pembebasan Alexander, seorang warga AS yang ditawan oleh pihak Hamas, disambut dengan janji akan ada gencatan senjata selama 60 hari. Namun, itu juga tidak dilaksanakan.
“Ini menunjukkan sama ada AS tidak mampu untuk menghalang Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ataupun tidak mempunyai kesungguhan sebenar dalam menyelesaikan krisis ini,” tegasnya.
Sementara itu dalam usaha memperkukuh kesedaran rakyat negara ini terhadap isu Palestin, Cinta Gaza Malaysia bersama Aqsa Defenders baru-baru ini, menganjurkan program Perkampungan Gaza Bangkit 1187 di Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Sungai Petani, Kedah.
Kongsinya, program selama empat hari yang berakhir Ahad lalu, menghimpunkan seramai 15,000 pengunjung dengan pelbagai pengisian melibatkan jihad digital, ilmu pendidikan dan pemahaman isu Palestin.
“Ini adalah kali pertama perkampungan bertemakan Gaza diadakan di Malaysia. Melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya (VR), kita berikan gambaran sebenar keadaan di Gaza kepada masyarakat tempatan.
“Saya berharap jerayawara seperti ini dapat diteruskan ke seluruh negara agar sokongan terhadap perjuangan Palestin tidak hanya didasari semangat dan emosi, tetapi juga kefahaman yang kukuh dan berasaskan ilmu,” katanya. – UTUSAN










