PETALING JAYA: Shoraka Kenyalang Sdn. Bhd. (SKSB) dengan kerjasama Koperasi Pelabuhan Bintulu Berhad (Kopela) melancarkan Bayar Jak, sebuah platform kewangan Islam bersepadu berasaskan teknologi kewangan (fintech).
Kerjasama strategik itu menandakan pelancaran perkhidmatan Akses Gaji Terdahulu (EWA) kepada ahli koperasi Kopela membolehkan pekerja mengakses sebahagian daripada gaji yang telah diperoleh mereka pada bila-bila masa sebelum hari gaji.
Pengarah Shoraka Kenyalang, Muhammad Zar Abd Sukor berkata, EWA yang ditawarkan menerusi Bayar Jak bukan sekadar alat kewangan, tetapi satu langkah transformatif ke arah sistem penggajian yang lebih responsif dan fleksibel.
“Kesejahteraan kewangan merupakan asas kepada kesejahteraan menyeluruh, dan menerusi perkhidmatan ini, kami berharap dapat membantu individu mengurangkan tekanan kewangan yang menjadi sesuatu boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal,” katanya dalam kenyataan.
Bayar Jak dioperasikan oleh Shoraka Kenyalang yang merupakan ahli kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI).
Platform itu bertujuan memperkasa rakyat Sarawak, perniagaan tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui penyelesaian kewangan patuh syariah yang mudah diakses serta menyokong daya tahan ekonomi.
Kopela pula sebagai koperasi berkaitan Pelabuhan Bintulu memberi tumpuan kepada kebajikan ahli, penyertaan ekonomi dan pembangunan komuniti. Sebahagian besar ahli Kopela merupakan kakitangan Bintulu Port Holdings Berhad.
Sementara itu, Pengerusi Kopela, Sufri Bohari berkata, bagi ahli Kopela, perkhidmatan tersebut dapat membantu mereka mendapatkan dana kecemasan untuk keperluan tidak dijangka seperti keperluan rumah mendesak, kecemasan perubatan dan sebagainya yang boleh membebankan.
“Jadi, dengan adanya kerjasama bersama Shoraka Kenyalang menerusi Bayar Jak, ia memberi kuasa kepada ahli kami untuk mengakses gaji mereka pada waktu paling diperlukan.
“Ahli koperasi juga mempunyai lebih banyak kebebasan kewangan kerana mereka boleh mengakses gaji yang telah diperoleh, bila-bila masa diperlukan,” ujarnya.
Direka untuk menggalakkan keterangkuman kewangan dan mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman faedah tinggi atau pemberi pinjaman tidak berlesen, Bayar Jak berintegrasi terus dengan sistem penggajian majikan.
Melangkah ke hadapan, Bayar Jak merancang untuk terus memperluas rangkaian perkhidmatan kewangan digital patuh syariah, termasuk penyelesaian pembiayaan invois digital untuk PKS, serta kemudahan kredit peribadi yang disesuaikan untuk penjawat awam, selaras dengan matlamat Blueprint Ekonomi Digital Sarawak 2030.-UTUSAN










