Malaysia pilihan Snowflake perluas operasi di ASEAN

Malaysia pilihan Snowflake perluas operasi di ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Snowflake, syarikat pengkomputeran awan global, menjadikan Malaysia sebagai salah satu pasaran strategik utamanya dan antara ekonomi terpenting di ASEAN dalam usaha memperluas operasi di rantau ini.

Langkah itu susulan peningkatan minat pelaburan dalam sektor data terbuka dan pusat data oleh syarikat-syarikat utama dunia.

Syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang ditubuhkan pada 2012 itu membangunkan Data Cloud, sebuah platform yang membolehkan organisasi menyatukan, mengurus dan menganalisis data dengan prestasi tinggi serta berskala merentas pelbagai penyedia teknologi awan.

Pengarah Urusan Snowflake ASEAN, Satchit Joglekar berkata, pelaburan besar oleh penyedia pusat data dan hyperscaler seperti Amazon Web Services (AWS) yang melancarkan infrastruktur tempatan, menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama syarikat.

“Malaysia sememangnya keutamaan kami dalam pelaburan dan pengembangan. Kami akan terus menyokong pelanggan tempatan menerusi kerjasama rapat bersama rakan kongsi awan seperti AWS.

“Hasrat kami adalah untuk melabur lebih banyak, bukan sahaja dari segi sumber manusia, malah keupayaan menyediakan sokongan teknologi tempatan,” katanya dalam sidang video sempena Sidang Kemuncak Snowflake 2025 di San Francisco, Amerika Syarikat.

Tambahnya, Snowflake bukan sahaja mahu mengukuhkan kehadiran dan bakat tempatan, malah berusaha meningkatkan kemahiran rakan kongsi termasuk penyepadu sistem serantau dan global di negara ini.

Sejak 2021, Malaysia telah merekodkan pelaburan digital berjumlah RM278 bilion, termasuk RM184.7 bilion dalam sektor pusat data dan projek awan.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjangkakan pasaran pusat data negara berkembang kepada AS$13.57 bilion (RM57.75 bilion) menjelang 2030, berbanding AS$4.04 bilion (RM17.19 bilion) tahun ini, dengan kadar pertumbuhan tahunan 22.38 peratus.

Malaysia turut menduduki tempat teratas dalam kedudukan Inventori Data Terbuka (ODIN) 2024-2025 dengan skor keseluruhan 90, termasuk skor 99 dalam keterbukaan data, mengatasi 198 negara lain dan melonjak daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian 2022/2023.

Dalam tempoh 18 bulan lalu, Snowflake turut meluaskan operasinya dari Singapura ke lima ekonomi utama ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand.

“Peluang pasaran kini berkembang daripada gudang data kepada platform data bersatu dan awan data berasaskan kecerdasan buatan (AI). Justeru, kami memperkukuh kehadiran tempatan di semua ekonomi utama ASEAN,” katanya.

Sidang Kemuncak Snowflake 2025 yang bermula hari ini di San Francisco dijangka menarik kehadiran antara 18,000 hingga 20,000 peserta dari seluruh dunia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×