Cropmate rancang komersial baja ESG pada 2026

Cropmate rancang komersial baja ESG pada 2026

cropmate
LOGO Cropmate.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cropmate Group Berhad (Cropmate) merancang untuk mengkomersialkan formula baja baharu berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menjelang 2026, tertakluk kepada hasil ujian saintifik di lapangan.

Pengarah Urusannya, Lee Chin Yok berkata, prototaip formulasi tersebut telah disiapkan dan ujian saintifik dijangka bermula pada suku ketiga 2025 bagi mengumpul data prestasi dalam persekitaran sebenar.

“Formulasi ini direka untuk meningkatkan kecekapan penyerapan nutrien, mengurangkan kehilangan nutrien ke tanah serta menyokong kelestarian alam sekitar. Ia penting bagi kesihatan tanah jangka panjang dan pematuhan piawaian ESG,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam masa sama, Cropmate turut mempertingkatkan siri produk sedia ada iaitu CM Miracle yang diformulasi khas untuk tanaman bernilai tinggi seperti durian.

Menurut beliau, makmal Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalaman yang kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan akan mempercepatkan proses pembangunan serta ujian formula baja baharu.

“Ia sekali gus memastikan produk kami terus relevan dengan keperluan pasaran,” katanya.

Mengulas perancangan bagi tahun ini, Chin Yok berkata, sektor pertanian negara berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan iklim tidak menentu, peningkatan kos pengeluaran dan kekurangan tenaga kerja.

“Sehubungan itu, syarikat memberi tumpuan kepada tiga strategi utama iaitu pembangunan baja berkecekapan tinggi, automasi operasi dan sokongan teknikal kepada petani.

“Baja ESG yang kini dalam fasa ujian direka untuk membebaskan nutrien secara berperingkat dan amat penting dalam menghadapi cuaca yang sukar diramal,” jelasnya.

Bagi memperkukuh kecekapan operasi, Cropmate juga sedang memasang Sistem Kawalan Proses (PCS) serta sistem tali sawat penghantar yang dijangka siap pada akhir 2025.

“Automasi ini akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja, menambah baik konsistensi formulasi dan menurunkan kos operasi. 

“Sarikat turut menyediakan perkhidmatan analisis tanah dan daun kepada petani bagi membantu penggunaan baja yang lebih efisien dan lestari,” katanya. 

Dalam pada itu, Cropmate telah memulakan aktiviti eksport ke pasaran serantau termasuk Singapura, Indonesia, Vietnam dan Sri Lanka, dengan sumbangan eksport kepada hasil keseluruhan syarikat mencecah 1.3 peratus bagi suku pertama tahun kewangan 2025.

“Vietnam menjadi tumpuan kerana sektor penanaman durian di negara itu sedang berkembang pesat dan permintaan terhadap baja berkualiti tinggi semakin meningkat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini