TAMPIN: Pandemik Covid-19 yang melanda dunia memberi kesan besar kepada golongan peniaga terutamanya peniaga kecil-kecilan, namun situasi itu tidak sedikit pun mematahkan semangat seorang tukang jahit.
Tukang jahit berkenaan, Ramizah Muyup, 40, berkata, semasa itu, tempahan baju kurung sangat kurang dan menyebabkan pendapatannya terjejas kemudian dia mula mengambil inisiatif untuk mempelajari ilmu jahitan baharu.
Menurut anak jati Dangi, Johol itu, dia kemudian memutuskan untuk belajar menjahit pelbagai jenis pakaian seragam, baju fesyen dan juga jubah konvokesyen di sebuah Giat Mara Kuala Pilah selama enam bulan.
“Bila perintah kawalan pergerakan (PKP), tak boleh rentas daerah, kerja menjahit pun dah kurang. Orang lebih ramai beli secara atas talian kerana harganya yang jauh lebih murah.
“Tapi, saya tidak patah semangat dan percaya jika tukang jahit tak berhenti belajar ilmu jahitan baharu, pasti rezeki itu ada.
“Jadi sewaktu pandemik, saya ambil peluang tambah ilmu jahitan. Kini, alhamdulilah saya mendapat tempahan secara pukal menjahit baju konvokesyen pelajar sekolah,” katanya ketika ditemui di premis niaganya di Pekan Tampin, di sini, baru-baru ini.
Ujar Ramizah lagi, sejak 2022, tempahan yang diperolehnya sekitar 50 hingga 60 pasang pakaian konvokesyen bagi sebuah sekolah yang mana pelanggannya adalah sekitar daerah ini serta sebuah sekolah di Selangor.
Menurutnya, walaupun sudah 18 tahun dia terbabit dalam bidang jahitan bermula dengan menjadi pekerja sebuah kedai, dia masih berusaha menambah ilmu jahitan dari masa ke masa.
“Malah, individu lain juga boleh memanfaatkan kewujudan institusi kemahiran di bawah agensi kerajaan untuk memantapkan lagi kemahiran sedia ada serta belajar teknik-teknik baharu kerana dari situ lah, kita akan menarik lebih banyak lagi peluang rezeki,” katanya. – UTUSAN











