JERANTUT: Kerajaan negeri mengenal pasti dan mengakui kerosakan Jalan Tuit (Kuala Tahan) ke Mat Daling sejauh 48 kilometer disebabkan faktor manusia dan cuaca dengan kerja-kerja membaik pulih bermula sejak 2021 melibatkan peruntukan RM365 juta daripada Kementerian Kemajuan dan Wilayah (KKDW).
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, siasatan oleh perunding yang dilantik merumuskan punca kerosakan adalah tiada rutin penyelenggaraan sistem saliran cerun dan jalan.
Keadaan itu, kata beliau, menyebabkan sistem saliran tersumbat dan air melimpah ke cerun dan mengakibatkan hakisan serta runtuhan tebing.
“Ketiadaan rutin pemeriksaan pihak berwajib menyebabkan kegagalan kecil tidak disedari seterusnya merebak dan mengakibatkan kegagalan besar.
“Kita juga mengakui muatan lori yang berlebihan mempercepat struktur turapan mencapai hayat dan kesan pergerakan dan retakan kecil pada pembetung mengakibatkan air meresap ke dalam tanah seterusnya mengakibatkan kerosakan cerun dan jalan,” katanya ketika dihubungi, semalam,
Razali mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia berhubung keadaan jalan raya Kampung Tuit ke Mat Daling berlaku runtuhan cerun dan mendapan mengakibatkan gangguan perjalanan kira-kira 3,000 orang penduduk Ulu Tembeling ke bandar Jerantut.
Beliau berkata, untuk mengelakkan runtuhan berulang, kerajaan negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) melantik tiga kontraktor untuk melaksanakan kerja baik pulih di sepanjang laluan tersebut.
“Kerja baik pulih ini melibatkan penyelenggaraan jalan dan cerun secara rutin termasuk pemeriksaan berkala.
“JKR dan kontraktor telah melaksanakan segera pembaikan kerosakan yang masih berbaki dan kerosakan kecil supaya magnitud kerosakan tidak menjadi lebih besar,” katanya.
Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga lebih kerap membuat operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan bagi memastikan lori balak tidak membawa muatan melebihi had yang merupakan antara penyumbang kerosakan jalan tersebut. – UTUSAN











