Pada suatu hari Jumaat imam berkhutbah, mengikut mimpinya bertemu Rasulullah SAW, bahawa di antara semua hadirin yang solat berjemaah Jumaat itu, ada seseorang dijanjikan masuk syurga.
Wah! Sepantas kilat para jemaah bagaikan terlambung daripada duduknya. Terkejut. Tetapi masing-masing hanya berpandangan, tidak berani berkata apa-apa. Masih ingat akan peringatan “Jika engkau berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat, “Senyap!” sedangkan imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya telah sia-sia.”
Peringatan sabda Nabi Junjungan SAW itu tersemat di dada para makmum. Justeru mereka semua kelihatan sangat khusyuk mendengar khutbah itu. Di akhir khutbah itu, Pak Imam terus menyatakan bahawa “ di kalangan kita semua, seorang daripadanya akan mendapat syurga tanpa hisab. Setiap malam Jumaat saya bermimpi bagaikan mendengar sabda Baginda Rasulullah
SAW itu. Mereka yang duduk di barisan paling hadapan akan berpeluang mendapatkannya.”
Isi khutbah itu menjadi perbualan utama warga kariah itu. Di mana-mana sahaja mereka membicarakannya. Malah, sampai juga ke daerah-daerah kariah lainnya. Tentu sahaja ini berita yang amat mengejutkan.
Begitulah masjid itu penuh sesak dengan makmum pada setiap waktu solat. Dan, masing-masing berebut-rebut mahu mendapatkan barisan paling hadapan. Begitu juga, apabila sampainya Jumaat, beramai-ramai pula segara datang untuk mendapatkan barisan hadapannya.
“Adakah ini sebuah cerita sahih, atau hadis palsu?” Tanya Pak Haji Muspha, hairan. Dalam hatinya ada bisikan, dia sudah tiga kali naik haji, tetapi tidak pernah bermimpi sedemikian.
“Betul Pak Haji, saya sendiri mendengarnya. Kebetulan minggu itu saya solat Jumaat di masjid Karamah itu.
“Aku kenal Imam masjid Karamah itu, sangat terkenal waraknya,” kata Pak Haji Muspha.
Pada Jumaat berikutnya, Pak Haji Muspha solat di masjid Karamah. Datangnya awal, duduk di hadapan bersebelahan sejadah Pak Bilal. Sewaktu Pak Bilal menyerahkan tongkat khutbah kepada Pak Imam, sempat Pak Imam memberi senyuman kepada Tuan Haji Muspha. Tanda hormat.
“Bertuahlah sesiapa yang mendapat anugerah syurga, yang di bawahnya ada sungai-sungai mengalir indah dan dia kekal di dalamnya.” Ujar Pak Imam memulakan khutbahnya. Semua orang khusuk mendengarkannya.
“Setiap manusia memasang impian menjadi penghuni syurga. Pelbagai perbuatan yang dilakukan semasa di dunia memberi gambaran sama ada seseorang itu layak ke syurga atau neraka. Terdapat lima ciri penghuni syurga, iaitu mereka yang beriman, sentiasa berubah menjadi orang yang baik, sentiasa bertaubat, orang yang bertakwa, dan mereka yang sujud setiap malam
kepada Allah SWT. Bertahajud, solat awwabin, solat taubat, solat hajat dan solat witir.”
Semua makmum mendengarkannya sambil membayangkan nikmat syurga. Haji Muspha dan makmum lainnya tunduk sahaja mendengarkan khutbah itu. Jauh tersembunyi di lubuk hati masing-masingnya, yang sangat merindui syurga yang indah itu. Dan berdoa agar kehidupan ini diakhiri dengan khusnul-khatimah.
“Seperti heboh di media sosial, menyatakan dalam kalangan seribu orang hanya seorang yang akan masuk syurga. Berita ini bersumberkan percakapan seorang tokoh agama di Mekah, dan ia dibawa oleh mereka yang balik melakukan umrah. Tidak pasti kebenarannya, malang sekali umat Islam jika perkara ini menjadi kenyataan.”
Ramai makmum memandang Pak Imam, yang kelihatan berkhutbah di luar teks disediakan. Kebanyakan makmum telah memahami berita yang sudah viral dan terus diwassapkan itu.
Setelah berjumaat, Haji Muspha belanja Pak Imam Karamah makan nasi beriani Arab.
“Ya saya bermimpi setiap malam Jumaat, mimpi yang sama.” Pak Imam menegaskan. Haji Muspha mengangguk-ngangguk sambil mengunyah daging kambing yang lembut dan berminyak kesukaannya.
“Memang saya perhatikan ada seseorang yang datangnya cepat, duduk pada saf paling hujung,” Pak Imam menyatakan ciri-ciri wataknya, selari seperti dalam mimpinya.
“Saya ingin menemuinya. Di mana dia tinggal?” Cepat sekali Haji Muspha memintas.
Haji Muspha ingin sekali melihat, malah berkenalan dengan manusia ahli syurga itu. Dia berusaha solat di masjid Karamah untuk menentukan manakah wataknya, seperti yang dinyatakan oleh Pak Imam.
Dia datang sebagai seorang yang separuh umur, berjanggut dan bermisai tebal dengan hanya memakai songkok agak lusuh. Meskipun barisan hadapan itu masih banyak kosong, tetapi lelaki itu memilih duduk di penghujungnya. Selepas solat sunat tahiyatul masjid, dia menggapai al-Quran. Membuka suhufnya dan terus membacanya.
Haji Muspha memerhatikannya dari jauh. Setelah agak ramai makmum, dia pun duduk di belakang lelaki itu. Amat bertekad dia meneliti keistimewaan yang disebut-sebut sebagai penghuni syurga itu.
Solat Jumaat kali itu, Pak Imam berkhutbah dengan menguatkan pengembaraan dalam pencarian syurga. Allah SWT berfirman, mafhumnya: “Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah SWT dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah daripada orang yang hanya memberi minum orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja; dan mereka itulah orang yang berjaya.
Mereka digembirakan oleh Tuhan dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta syurga; mereka beroleh di dalam syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar.” Surah al-Taubat ayat 20 hingga 22.
Hanya setelah makmum lainnya keluar masjid, barulah lelaki itu bersiap-siap mahu pulang. Dia agak terperanjat Haji Muspha memberi salam dan mengenalkan dirinya.
“Saya kenalkan diri saya Haji Mushpa,” katanya merendah diri.
“Bukankah tuan Imam masjid Ibadiyah?”
“Ya ya ya…Sekarang pembantu saya menjalankan tugas imam” Agak sedikit gugup, rupanya lelaki itu mengenalinya. “Saya ingin berkenalan dengan tuan.”
“Ya saya hanya manusia biasa, nama saya Ahmad.”
Perkenalan itu membawanya ke rumah lelaki yang bernama Ahmad itu. Rumahnya sederhana. Dia tinggal bersama seorang isteri. Pak Muspha mendapati memang lelaki itu hanya manusia biasa.
Dia bekerja sebagai pembantu jualan di kedai runcit di kampungnya. Jumaat memang hari cutinya. Bagaimanapun dia seorang yang sangat menjaga solatnya. Masuk sahaja waktu cepat dia pergi ke surau.
“Saya suka bermalam di rumah tetangga.” Begitu kata Pak Haji Muspha memberi alasan mengapa dia ingin menumpang tidur di rumah orang. Jarang orang berbuat demikian. Pak Haji Muspha tidak melihat apa-apa yang istimewa, seperti yng diujarkan oleh Imam Masjid Karamah.
“Saya sangat gembira Tuan Imam mahu bermalam di rumah saya, yang serba kekurangan ini.” Kata lelaki bernama Ahmad itu, sewaktu mereka mengadap juadah malam selepas solat Isyak.
Selepas makan Haji Muspha sengaja membaca-baca al-Quran. Dengan membaca kira-kira semuka halaman Surah Baqarah, Ahmad menyambungnya tanpa melihat al-Quran. Bacaannya penuh tajuwid dan berteranum pula. Ternyata dia menguasai semua tujuh taranum iaitu Bayati, Soba, Hijaz, Nahwand, Rast, Sikah dan Jiharkah. Suaranya juga lemah, halus dan merdu.
Haji Muspha sengaja menyuruh Ahmad berpindah-pindah taranum. “Di mana anda belajar teranum?”
“Dulu saya pelajar Universiti Islam Taranum, Jordan.”
“Aneh tiada siapa yang tahu anda pandai bertilawah.”
Malam itu Pak Haji Muspha menahan tidurnya untuk melihat apa yag dbuat oleh lelaki ahli syurga itu.Tentunya lelaki itu akan bangun dan mengerjakan qiam al-lail. Tentu banyak kali akan dikerjakannya solat tahajud, awabin, hajat dan taubat.
Malam itu tiba-tiba sahaja hujan lebat. Lelaki itu memberikan selimut yang agak tebal kepada Haji Muspha. Selepas itu dia pun membalut badannya yang agak kurus itu menahan daripada kesejukan malam. Langsung tiada tanda-tanda lelaki itu akan bangun mengerjakan solat malam. Ternyata lelaki itu tidak ada ubahnya seperti insan lainnya. Bahkan, ibadatnya agak sedikit sahaja.
Lubuk kalbu Haji Mushpa pernah berkata: “Aku ingin mengikuti amalannya, mana tahu dapat juga menjadi ahli syurga.”
Ternyata benar lelaki bernama Ahmad yang pernah menuntut di universiti Jordan itu, seorang lelaki yang amat biasa. Dia menguasai ilmu taranum tetapi tidak pernah diketahui orang.
“Kenapa Tuan tidak pernah membaca al-Quran di khalayak ramai?”Lelaki itu tersenyum sahaja.
“Saya datang ada membawa harapan.” Haji Muspha berterus-terang.
Selama ini, sebenarnya Pak Imam Haji Muspha diresapi oleh sebuah kisah sejarah. Cerita tentang seorang lelaki yang sering dinyatakan oleh Rasulullah SAW sebagai penduduk syurga. Laki-laki tersebut membuat ingin tahu para sahabat, sehingga menjadi calon ahli syurga.
Pada suatu hari, Rasulullah SAW sedang duduk bersama sahabatnya. Baginda kemudian mengatakan, “Sebentar lagi akan datang lelaki dari golongan ahli syurga.”
Tidak lama kemudian, datanglah seorang lelaki dari sahabat Ansar yang janggutnya basah kerana bilasan wuduk seraya membawa kedua sandalnya dengan tangan kirinya.
Pada hari berikutnya, Nabi SAW juga mengucapkan hal yang sama kepada sahabatnya, lelaki Ansar yang janggutnya basah kerana bilasan wuduk itu membawa sandal dengan tangan kirinya. Ini membuat sahabat Muhajirin ingin mengetahui rahsia keajaiban dan kemukjizatannya. Abdullah bin ‘Amr bertanya-tanya, apakah gerangan yang membuat laki-laki tersebut sehingga Rasulullah
SAW beberapa kali mensabdakannya.
Abdullah bin ‘Amr bermalam selama tiga malam, semata-mata untuk mencari jawapan ke atas keajaiban dan kemukjizatan lelaki itu. Tetapi, apa yang didapatinya, lelaki itu seperti manusia biasa lainya sahaja. Ibadahnya sederhana dan tidak pun mengejakan qiam al-lail.
Ahmad berkata: “Saya tidak punya ibadah khusus kecuali apa yang Tuan Imam saksikan.” Kata-kata Si Ahmad ini bagaikan mengulang apa yang diucuapkan oleh lelaki itu kepada Abdullah bin ‘Amr.
Berbekal perasaan masih tertanya, Abdullah bin ‘Amr pulang untuk mengadu kepada Rasulullah SAW. Sewaktu hendak bermohon pergi lelaki Ansar itu berkata, “Saya tidak pernah terniat hendak menipu sesama Islam, dan tidak memiliki rasa dengki atas nikmat yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya.”
Pelbagai perasaan paradoks, dilemma dan ironik tumbuh di benak Haji Mushpa. “Apakah itu rahsianya?” Tanya Haji Mushpa kepada Imam Masjid Karamah.
“Ya begitulah ibrahnya menurut Hadis diriwayatkan Imam Ahmad itu.”
Haji Mushpa mengangguk-ngangguk. Tetapi, mencari-cari ibrahnya. Rupa-rupanya tidak menipu dan menindas sesama Islam itu sangat berat mizannya. Apa lagi tidak merasa dengki terhadap anugerah Allah kepada manusia lain, lagi berat mizannya.
“Apakah Tuan pernah terniat menipu sesama Islam?” Tanya Imam Haji Mushpa kepada lelaki bernama Ahamd itu, sewaktu mereka bertemu menunaikan Jumaat minggu itu.
“Saya tidak pasti” jawab Ahmad.
“Atau merasa dengki atas nikmat yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya?”
“Saya juga tidak pasti” dengan tegas Ahmad menjawab.
“Begitulah jawapan lelaki ahli syurga itu Tuam Imam Masjid Karamah.” Ujar Haji Muspha memberitahu hasil dapatan selidikannya. “Tidak pasti. Ya, dia juga tidak pasti.”
Bagaimanapun Haji Mushpa tidak akan berhenti mencari ahli syurga yang dinyatakan Imam Masjid Karamah itu. Dia percaya mimpi Imam Karamah itu benar.
Jumaat itu imam masjid Karamah membaca Surah Ar-Ra’d, ayat 22 hingga 24: “Dan orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat: iaitu syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang yang mengerjakan amal soleh daripada ibu bapa, isteri serta anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; Memberi hormat dengan berkata, selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.”
Sebaik sahaja Imam Masjid Karamah selesai membacakan ayat al-Quran itu, tiba-tiba badannya menjadi lemah, dan jatuh di sisi mimbar.
Para makmum menjadi panik. Dengan cepat Haji Muspha terus naik ke mimbar, mengangkat tubuh yang sudah kaku. Ada air mata gembira mengalir di mata Imam Masjid Karamah. Dahinya berkeringat.
Imam Muspha faham itu adalah tanda khusnul khatimah. Rupa-rupanya imam masjid Karamah itu sendiri menjadi ahli syurga itu. – UTUSAN










