Lantik segera Menteri Ekonomi sebelum RMK-13

Lantik segera Menteri Ekonomi sebelum RMK-13

AHMAD Maslan (tengah) bersama pengurusan tertinggi Kolej Vokasional Tanjung Piai selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG kolej berkenaan di Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melantik segera Menteri Ekonomi sebelum pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dijadualkan Julai ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, RMK-13 merupakan dokumen penting yang perlu diuruskan dengan baik dan teliti sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Katanya, RMK-13 telah disediakan oleh Menteri Ekonomi sebelum ini, Datuk Seri Rafizi Ramli dan kebiasaannya akan dibentangkan oleh Perdana Menteri.

“Walau bagaimanapun, pelantikan Menteri Ekonomi baharu itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri.

“Sama ada daripada PKR atau siapa sahaja, itu terpulang kepada Perdana Menteri. Namun, tentunya pimpinan PKR mendesak supaya kekosongan itu diganti individu dari PKR juga, itu dari segi logik politiknya,” katanya ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Tanjung Piai, di sini semalam.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja memberi penghargaan kepada Rafizi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang telah berkhidmat dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sebagai kawan saya mengucapkan terima kasih atas segala khidmat mereka. Keputusan mereka itu adalah keputusan dalaman parti,” katanya.

Jumaat lalu, Rafizi dan Nik Nazmi tewas dalam pemilihan PKR sebelum mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai.

Rafizi gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR apabila tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi kalah bagi jawatan Naib Presiden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×