Cicak tokek jadi peneman setia

Cicak tokek jadi peneman setia

Boboy gemar berpaut di pergelangan tangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cicak tokek sering dianggap sebagai liar dan agak menakutkan bagi sesetengah orang. Namun realitinya, spesies cicak eksotik ini sebenarnya manja dan gemar berkepit dengan tuannya.

Menurut Nur Najib Nu’man Ziyad cicak tokek kesayangannya yang diberi nama Boboy lebih gemar melepak di atas bahu atau kepalanya.

Malah, Boboy juga tidak kisah jika dia sedang melakukan kerja atau berjalan ke sana ke sini asalkan boleh ‘melekat’ di sisi tuannya.

“Boboy akan berpaut pada pergelangan tangan saya. Jika saya mahu meletakkannya kembali ke dalam sangkar, ia akan berpaut lebih erat.

“Malah, ia akan mengeluarkan bunyi ‘tok keh tok keh’ yang agak bising, untuk meluahkan rasa tidak puas hati atau merajuk kerana tidak boleh lagi ‘melekat’ dengan saya,” katanya.

Boboy sering mencari perhatian dan gemar berada dekat dengannya seolah-olah memahami setiap gerak geri tuannya.

SELESA DI BILIK

Jejaka berusia 20 tahun itu berkata, minat terhadap haiwan berdarah sejuk mula berputik selepas sering menonton dokumentari berkaitan yang disiarkan di saluran National Geographic.

Minat itu tercetus setiap kali berkunjung ke kedai haiwan peliharaan kegemarannya di Ipoh, Perak.

Cicak tokek membuka hatinya untuk memiliki haiwan peliharaan di rumah dan daripada situlah timbul impian untuk memiliki sebuah taman mini reptilia di rumah.

Najib kemudiannya mendapatkan seekor cicak tokek daripada rakannya yang merupakan pembekal haiwan eksotik.

Nama Boboy menjadi pilihan kerana dirasakan sesuai dengan sifat jantan si cicak tokek peliharaannya itu.

Katanya, Boboy hanya dibiarkan berada dan bermain di dalam biliknya atas permintaan ahli keluarga yang lain.

Bagi keselesaan Boboy, dia berusaha untuk menyediakan ruangan khas, agar dapat menyesuaikan diri seperti berada di habitat asalnya.

“Dengan menggunakan akuarium ikan untuk dijadikan sangkar, saya meletakkan beberapa ranting-ranting kayu yang mempunyai daun sesuai sebagai tempat permainan bagi Boboy untuk bertenggek dan bersembunyi,” katanya kepada Seri.

Selain itu, dia akan sentiasa memastikan bilik tidurnya menggunakan lampu hiasan neon, bagi mengelak Boboy berasa takut.

Boboy akan melarikan diri dan menyorok jika persekitaran terlalu terang.

‘Senjata rahsia’

Bagi Najib, Boboy bukan sekadar cicak tokek peliharaan, ia juga dianggap ‘senjata rahsia’ paling berkesan untuk menyakat ahli keluarganya, terutama kakak dan adik perempuannya.

Katanya, sejak lebih empat bulan memelihara Boboy di dalam bilik tidurnya, adik perempuannya langsung tidak berani melangkah masuk ke ruang tersebut.

“Malah, hanya sekadar kedengaran bunyi ‘tokek’ Boboy di depan pintu bilik, sudah cukup membuatkan adik kesayangan saya beberapa kali menangis kerana menggigil ketakutan.

“Kadang-kadang saya sengaja membiarkan Boboy berjalan di atas lantai waktu kakak dan adik saya menonton televisyen.

“Paling kelakar apabila kakak saya pernah panjat atas sofa sambil menjerit hanya kerana melihat Boboy menjelir lidahnya dari jauh,” katanya.

Ujar Najib, dia seronok apabila dapat mengusik ‘manja’ ahli keluarganya, menggunakan haiwan peliharaannya itu.

Namun begitu, dia tetap memastikan Boboy tidak dibiarkan berkeliaran tanpa pengawasan dan sentiasa mengutamakan keselamatan haiwan kesayangannya itu.

Cerewet dalam pemakanan

Najib banyak kali menukar pemakanan harian untuk diberikan kepada Boboy.

Katanya, cicak tokeknya itu tidak akan makan makanan yang sama yang sudah diberi pada sebelah pagi.

Justeru itu, dia akan mempelbagaikan jenis serangga seperti semut, belalang, cengkerik dan pelbagai jenis ulat.

Katanya, sama seperti manusia yang tidak suka makanan tidak segar, Boboy juga tidak gemar memakan serangga yang sudah terlalu lama disimpan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×