Bahaya lembu seludup untuk ibadat korban

Bahaya lembu seludup untuk ibadat korban

HARGA murah menjadi penyumbang kepada permintaan tinggi lembu seludup masuk Malaysia melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Orang ramai yang ingin melakukan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada 7 Jun ini diingatkan agar tidak membeli lembu seludup dari Thailand.

Ini kerana, lembu seludup dari negara jiran itu dipercayai tidak menjalani proses kuarantin oleh Jabatan Veterinar negeri dan berisiko membawa jangkitan Antraks yang boleh menyebabkan kematian kepada manusia.

Kebimbangan itu berasas selepas Thailand merekodkan kes kematian akibat jangkitan Antraks pada 1 Mei lalu. Antraks adalah penyakit menular teruk berpunca daripada bakteria Bacillus anthracis dan boleh membawa maut kepada manusia.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Datuk Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, pemilihan lembu yang sihat dan berkualiti merupakan tuntutan Islam kerana ibadah korban menjanjikan pahala besar kepada mereka yang melaksanakan.

“Nasihat saya pilih lembu-lembu tempatan yang dijamin bebas daripada sebarang penyakit berbanding yang diseludup.

“Kita mempunyai banyak baka tempatan berkualiti seper­ti Kedah-Kelantan hibrid serta kacukan seperti Brahman dan sebagainya,” katanya.

Tuan Mohd. Saripudin memberitahu, walaupun harga lembu tempatan agak tinggi berbanding seludup, namun kualiti serta tahap kesihatan haiwan korban itu terjamin.

Kata beliau, setakat ini pihak­nya tidak menerima sebarang data berkaitan jangkitan penyakit pada lembu di Kelantan.

Sementara itu, Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 385 ekor lembu seludup dirampas membabitkan nilai berjumlah RM2.88 juta.

Menurutnya, seramai 56 individu yang bertindak sebagai penghantar ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

“Setakat Januari hingga 18 Mac lalu, PGA merekodkan rampasan lembu seludup berjumlah RM2.11 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Nik Ros Azhan turut mendedahkan, penggunaan dokumen yang berulang berkaitan proses pindahan lembu menjadi modus operandi utama sindiket untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, situasi itu menyukarkan PGA mengenal pasti kesahihan dokumen.

“Ini kerana, lembu yang dibawa mempunyai tanda di bahagian te­linga. Bagaimanapun, kami membuat pemeriksaan penuh teliti bagi memastikan penyelewengan tidak berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penyeludup dikenali Ja, 45, berkata, harga murah lembu seludup dari Thailand menjadi penyumbang kepada kegiatan it uterus meningkat.

“Jika belian secara borong harga lembu menjadi lebih murah sekitar RM2,300 hingga RM2,500 seekor, bergantung kepada saiz.

“Antara jenis lembu yang di­se­ludup ialah baka Kedah-Kelantan, kampung dan brahman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×