PETALING JAYA: Atlet Boccia negara, Angeline Melissa Lawas dan Noor Askuzaimey Mat Salim menceriakan kem Boccia Malaysia apabila masing-masing menyumbang pingat perak dan gangsa dalam Kejohanan Dunia Boccia Serantau Asia 2025 yang berakhir di Pattaya, Thailand, hari ini.
Dalam saingan kategori BC1 wanita, Angeline yang mempamerkan aksi bertenaga sejak pusingan awal terpaksa akur di pentas akhir apabila tewas kepada wakil Jepun, Endo Hiromi yang meraih emas.
Kemenangan tersebut meletakkan Angeline di kedudukan kedua dan menghadiahkan Malaysia pingat perak sulung dalam kategori itu sementara gangsa diperoleh atlet dari Indonesia, Handayani.
Sementara itu, Noor Askuzaimey mencatat keputusan membanggakan apabila berjaya menempatkan diri di podium dengan meraih gangsa selepas menewaskan pencabarnya dalam perlawanan penentuan tempat ketiga kategori BC4 wanita.
Pingat emas bagi kategori itu dirangkul oleh atlet dari China, Lin Ximei manakala perak diraih atlet dari Korea Selatan, Kim Yubin.
Kejohanan yang berlangsung dari 19 hingga 28 Mei itu menghimpunkan barisan atlet terbaik Asia dan Oceania, dengan Thailand menjadi tuan rumah kepada aksi kompetitif yang menjadi medan ujian kepada atlet boccia menjelang kejohanan-kejohanan utama dunia. – UTUSAN







