TOKYO: Satu ramalan dalam sebuah komik Jepun yang diterbitkan hampir 25 tahun lalu didakwa menjadi punca kepada kejatuhan mendadak dalam tempahan percutian ke Jepun, khususnya dari beberapa negara Asia.
Manga yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1999 itu mencetuskan sensasi apabila kulit bukunya merujuk kepada satu ‘bencana besar’ yang akan berlaku pada Mac 2011, iaitu tarikh berlakunya gempa bumi dan tsunami dahsyat yang mengorbankan lebih 18,000 nyawa serta mencetuskan tragedi loji nuklear Fukushima.
Dalam edisi baharu yang diterbitkan semula pada tahun 2021 dengan bahan tambahan, penulisnya, Ryo Tatsuki meramalkan satu lagi bencana besar akan berlaku pada 5 Julai 2025.
Ramalan itu kini tular dalam media sosial dan menimbulkan panik dalam kalangan pengguna internet, sehingga mendorong sesetengah pihak menasihatkan orang ramai menjauhi Jepun pada tarikh tersebut.
Laporan Bloomberg Intelligence yang memetik data daripada ForwardKeys mendapati, tempahan penerbangan ke Jepun dari pasaran pelancongan utama seperti Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong telah merosot secara drastik, dipercayai berpunca daripada kebimbangan terhadap novel grafik The Future I Saw karya Tatsuki.
Walaupun tiada asas saintifik terhadap dakwaan itu, ramalan terdahulu Tatsuki yang ‘tepat’ mengenai Mac 2011 menambah kepercayaan orang ramai terhadap dakwaan terbarunya.
Dalam masa yang sama, pihak berkuasa Jepun merayu orang ramai tidak mempercayai khabar angin yang tidak berasas itu.
Kerajaan Jepun meletakkan sasaran sebanyak 60 juta pelancong setahun menjelang akhir dekad ini.
Jepun yang terletak di Lingkaran Api Pasifik sememangnya merupakan antara negara paling kerap dilanda gempa bumi di dunia namun, pakar-pakar menegaskan tidak mungkin untuk meramalkan masa dan lokasi sebenar gempa dengan ketepatan tinggi.










