Mahkamah benarkan rayuan NFCorp

Mahkamah benarkan rayuan NFCorp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) dan empat yang lain berjaya dalam rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan di sini semalam berhubung ganti rugi nominal yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Pada prosiding yang dijalankan secara Zoom itu, panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais turut menolak rayuan Public Bank berhubung liabiliti.

Pada 30 Ogos 2023, Mah­kamah Rayuan memutuskan NFCorp dan empat yang lain hanya layak mendapat ganti rugi nominal selepas berjaya membuktikan liabiliti tetapi gagal membuktikan ganti rugi.

Sehubungan itu, bank ber­kenaan memfailkan rayuan berhubung isu liabiliti manakala NFCorp merayu isu ganti rugi nominal.

Selain NFCorp, empat yang lain ialah Pengerusi Eksekutif­nya, Datuk Mohamad Salleh Ismail serta tiga anak syarikat ia­itu National Meat and Livestock Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan Real Food Company Sdn. Bhd.

Selepas membenarkan rayuan, panel terbabit memerintahkan Public Bank untuk membayar kos RM300,000 kepada NFCorp dan perayu-perayu lain.

“Selepas mendengar hujah pihak-pihak, kami sebulat suara menolak rayuan Public Bank dengan kos. Kami mengesahkan keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan mengenai liabiliti. Kami berpendapat undang-undang lazim (common law) tidak terpakai dalam kes ini.

“Merujuk kepada rayuan NFCorp dan empat yang lain, rayuan ini dibenarkan dengan kos. Kami mengetepikan keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan berhubung ganti rugi nominal.

“Berhubung ganti rugi, ka­mi memerlukan masa untuk melihat semua dokumen sebelum membuat keputusan. Jadi ditetapkan 18 Jun ini untuk keputusan berhubung ganti rugi,” kata Hakim Hasnah.

Terdahulu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili NFCorp dan empat lagi menghujahkan bahawa anak-anak guamnya menuntut ganti rugi am sebanyak RM60 juta manakala ganti rugi teruk dan teladan sebanyak RM250 juta setiap satu.

Pada prosiding semalam, Public Bank diwakili peguam, K.K. Chan.

Pada 30 Ogos 2023, Mah­kamah Rayuan mengarahkan Public Bank membayar RM510,000 kepada NFCorp dan empat yang lain iaitu ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 dan kos sebanyak RM500,000.

Pada 29 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman tersebut selepas mendapati NFCorp, Mohamad Salleh dan tiga lagi anak syarikatnya, gagal membuktikan kes itu terhadap Public Bank berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Dalam saman yang difailkan perayu terhadap bank itu pada 22 Mei 2012, mereka mendakwa reputasi dan kebolehpercayaan perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) oleh bank itu.

Pada tarikh sama, NFCorp dan empat yang lain selaku plaintif memfailkan saman terhadap Public Bank kerana mendakwa maklumat sulit dan rahsia perbankan mereka telah disebarkan kepada umum oleh bank tersebut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×