MORRISTOWN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap rakan sejawatnya, Russia, Vladimir Putin selepas Moscow melancarkan serangan dron terbesar ke atas Ukraine yang mengorbankan 13 orang termasuk kanak-kanak.
Trump, yang sebelum ini sering memuji Putin, kini mul mengecam pendirian Russia berikutan usaha rundingan damai dengan Ukraine yang masih menemui jalan buntu.
“Saya tidak gembira dengan apa yang Putin sedang lakukan dan saya sendiri tidak faham apa yang berlaku kepadanya.
“Saya sudah lama mengenali beliau dan hubungan kami baik. Tetapi beliau menghantar roket ke bandar-bandar dan membunuh orang awam. Saya tidak bersetuju atau menyukainya sama sekali,” kata Trump kepada wartawan di Lapangan Terbang Morristown sebelum menaiki pesawat Air Force One ke Washington.
Serangan terbaharu Russia berlaku ketika kedua-dua negara itu baru sahaja menamatkan pertukaran tahanan terbesar sejak dengan 1,000 askar dan tahanan awam dibebaskan oleh kedua-dua pihak.
Mangsa yang terkorban dalam serangan kali ini termasuk dua orang kanak-kanak berusia lapan dan 12 tahun, serta seorang remaja 17 tahun di wilayah barat laut Zhytomyr, menurut pihak berkuasa Ukraine.
Sementara itu, Trump turut memaklumkan bersetuju mempertimbangkan sekatan tambahan terhadap Russia berikutan serangan terbaharu itu.
Namun, kenyataan itu bertentangan dengan pendirian Setiausaha Negara AS, Marco Rubio yang memberitahu Kongres minggu lalu, Trump percaya ancaman sekatan pada masa ini boleh menyebabkan Russia menghentikan rundingan.
Isnin lalu, Trump memaklumkan, Russia dan Ukraine akan segera memulakan rundingan untuk gencatan senjata selepas beliau mengadakan panggilan telefon selama dua jam dengan Putin.
Namun, Putin tidak memberikan sebarang komitmen untuk menghentikan perang yang sudah berlanjutan selama tiga tahun itu, sebaliknya hanya mencadangkan untuk bekerja ke arah satu memorandum yang mengandungi tuntutan Russia dalam usaha mencari keamanan.-AFP










