Distinguished Gentleman’s Ride bukan konvoi biasa

Distinguished Gentleman’s Ride bukan konvoi biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAK ada sebab? Ya, ini bukan konvoi motosikal biasa-biasa. Bukan sekadar berpakaian sut penuh bergaya persis bangsawan atau jejaka budiman, tapi Distinguished Gentleman’s Ride (DGR) ada matlamatnya.

Himpunan serta konvoi motosikal ini bertujuan memberi kesedaran mengenai kanser prostat yang merupakan antara kanser utama melibatkan golongan lelaki selain mengutip dana.

Lebih mengagumkan, program amal ini dilaksanakan serentak pada 18 Mei lalu di lebih 1,000 bandar di seluruh dunia.

Di Malaysia, DGR 2025 diadakan di Bintulu, Genting Highlands, Johor Bahru, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, Kuching, Melaka, Pulau Pinang, Sandakan dan Sibu.

Berdasarkan sejarah, DGR diasaskan oleh Mark Hawwa di Sydney, Australia pada 2012.

Hawwa mencetuskan inspirasi untuk memberi kesedaran mengenai kanser prostat dengan mengumpulkan peminat motosikal.

Pada mulanya DGR disertai motosikal klasik dan vintaj, namun kini disokong oleh pemilik-pemilik cafe racer, chopper, scrambler, skuter dan kapcai.

Saya berbesar hati dapat turut serta dalam DGR 2025 bersama rakan-rakan dari BMW Motorrad Auto Bavaria Ara Damansara.

Pagi-pagi lagi kami sudah berhimpun di bilik pameran Auto Bavaria Kuala Lumpur.

Belum sempat buka topi keledar dan sarung tangan, kami dijemput menikmati sarapan nasi lemak sedap berserta teh tarik kaw. Alhamdulillah, rezeki!

Sambil makan-makan, kami rancak berborak. Meriah, maklumlah jarang berjumpa kecuali sesekali berhimpun dalam aktiviti sebegini.

Sebelum bergerak, kami mendengar taklimat keselamatan ringkas oleh Ketua Jualan (Motorrad) Auto Bavaria Ara Damansara, Ahmad Faisal.

Beliau kemudiannya mengetuai konvoi kami sebanyak 35 buah motosikal menuju Balai Seni Negara untuk berhimpun dengan para peserta lain.

DGR 2025 dihoskan oleh Doplohtiga dan Naked 13 dengan sokongan Balai Seni Negara dan Aset Kayamas Sdn. Bhd. yang menyediakan lokasi perhimpunan serta Triumph Petaling Jaya dan Bike Republic.

Pada DGR tahun lepas, penganjuran di Kuala Lumpur dan Genting Highlands adalah berasingan tapi tahun ini digabungkan, maka lagi ramailah peserta!

Duta Rasmi Antarabangsa DGR 2025, iaitu Wak Doyok kemudiannya melepaskan konvoi menuju Genting Permai di Genting Highlands.

Sepanjang perjalanan, kami mendapat perhatian daripada pengguna jalan raya lain.

Mana tidaknya, bukan selalu dapat melihat konvoi motosikal macam ini. Lengkap bersut dengan motosikal klasik dan ubah suai yang hebat-hebat.

Di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (Karak), puluhan jurugambar bebas menanti untuk merakamkan aksi serta gaya kami dalam kamera mereka.

Gambar-gambar ini kemudiannya dimuat naik ke dalam media sosial untuk ditempah serta dibeli.

Saya dapati ada seorang jurugambar merakamkan lebih 2,000 keping gambar.

Dari petang sampai subuh esoknya tidak habis-habis dia menyunting dan muat naik gambar-gambar dalam akaun media sosial!

Hasil gambar-gambar mereka memang menarik. Saya sendiri beli tiga keping untuk disimpan sebagai kenangan.

Bukan senang nak dapat peluang dirakam dengan gaya sebegini.

Kami dan para peserta lain tiba di Genting Highlands kira-kira pukul 10 pagi.

Macam-macam ragam, fesyen, gaya, motosikal berhimpun bersama-sama.

Di sini tidak ada perbezaan kapasiti enjin (cc), jenama, status, jantina dan kaum.

Tidak ada pertanyaan-pertanyaan seperti “kau bawa motosikal apa?” atau “kau kerja apa?”

Kesemua itu dibuang jauh-jauh. Tidak ada mana-mana pihak yang bantu isi tangki motosikal kami, tidak ada duit poket, tidak ada makanan percuma disediakan.

Kami hadir dengan ikhlas. Apa yang lebih utama, kami dapat sama-sama menjayakan program amal ini!

Daripada maklumat rasmi penganjur yang saya terima, kira-kira 500 motosikal berdaftar pada program kali ini.

Namun, daripada pengamatan saya, dicampur dengan para peserta yang tidak berdaftar dan hadir pada saat-saat akhir, tidak kurang 600 motosikal mengambil bahagian.

Kira-kira RM10,000 berjaya dikumpulkan untuk diserahkan kepada rakan kongsi kebajikan global, Yayasan Movember.

Selain itu, DGR 2025 turut menyumbangkan RM500 kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia sebagai menyokong program-program berkaitan kanser prostat dan kesihatan mental.

Di Genting Highlands, beberapa aktiviti diadakan seperti ceramah tentang kanser prostat dan kesihatan mental oleh doktor dari Poliklinik Damai Sdn. Bhd., gerai jualan dan pakaian peserta paling menarik.

Tidak disangka-sangka, rakan kami, Nur Amira Syakila Abd. Talib menang pakaian terbaik bagi kategori peserta wanita. Tidak sia-sia dia melaram habis hari itu!

Kira-kira pukul 12 tengah hari, kesemua peserta bersurai. Masing-masing pulang dengan hati dan perasaan yang tenang, puas dan bangga.

Tenang kerana dapat pengetahuan baharu mengenai kesihatan. Puas kerana dapat mengikuti konvoi yang lain daripada lain. Bangga kerana setidak-tidaknya dapat menyumbang kepada aktiviti amal.

Untuk DGR 2026 macam mana pula? Pastinya saya akan turut serta, insya-Allah.

Nampak gayanya saya kena tempah sut kalau nak kelihatan lebih tampan dan menang pakaian terbaik!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×