ASEAN perlu perkukuh kerjasama tenaga – Fadillah

ASEAN perlu perkukuh kerjasama tenaga – Fadillah

FADILLAH Yusof pada sesi Luncheon Powertalk bertajuk Kemakmuran Bersama: Keperluan Baharu bagi Pertumbuhan Ekonomi ASEAN sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 (AWES 2025) di Kuala Lumpur, semalam-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Negara anggota ASEAN perlu memperkukuh kerjasama tenaga serantau sebagai sebahagian daripada strategi menjayakan kemakmuran bersama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerjasama rentas sempadan dalam sektor tenaga dapat dilihat menerusi jalinan strategik antara Laos, Malaysia, Thailand dan Singapura.

“Sebagai contoh, Laos menjual tenaga kepada Singapura tetapi bekalan itu perlu melalui Thailand dan Malaysia. Jadi, Laos perlu membayar caj pengangkutan kerana menggunakan grid tenaga kita.

“Namun, apabila tiba musim sejuk dan air membeku, Laos tidak dapat menjana tenaga hidro dan bekalan ke Singapura terganggu.

“Dalam keadaan itu, Laos akan mengambil tenaga daripada Thailand atau Malaysia untuk dihantar ke Singapura. Ini menunjukkan semangat perkongsian dan saling membantu sesama negara ASEAN,” katanya pada sesi Luncheon Powertalk bertajuk Kemakmuran Bersama: Keperluan Baharu bagi Pertumbuhan Ekonomi ASEAN sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 (AWES 2025) di sini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, ketika ini Singapura me­ngimport sehingga 100 megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui dari Laos melalui Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP), dan kapasiti itu akan dinaikkan kepada maksimum 200MW melibatkan kuasa hidro boleh baharu.

“Sebahagian daripada bekalan itu turut diperoleh dari Malaysia. Kita juga komited melaksanakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) dan sedang menggerakkan usaha ke arah merealisasikan Grid Tenaga ASEAN bagi mewujudkan ekosistem tenaga serantau yang saling berhubung dan mampan,” katanya.

Beliau turut berkongsi insiden letupan paip gas di Putra Heights yang menyebabkan saluran gas dari selatan terpaksa ditutup bagi tujuan keselamatan, sekali gus menjejaskan bekalan ke bahagian utara Semenanjung.

“Dalam keadaan ini, kita berunding dengan Thailand untuk mendapatkan bekalan gas dan hasil kerjasama itu, kawasan utara tidak mengalami gangguan.

“Inilah semangat kemakmuran bersama, saling berkongsi dan membantu demi kekuatan ASEAN secara keseluruhan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×