KUALA LUMPUR: Tindak balas ASEAN dalam menangani perubahan terkini pendirian ekonomi oleh Amerika Syarikat (AS) setakat ini adalah berhemah dan bijaksana.
Menteri Pelaburan , Perdangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada melakukan tindakan balas, blok serantau ini memilih untuk berdialog dan bekerjasama dengan komitmen jelas antara negara anggota ASEAN untuk tidak mengenakan tindakan balas.
Beliau menegaskan bahawa komunikasi terbuka adalah penting sebagai kunci kepada hubungan yang seimbang dan mampan.
“Pendekatan berhati-hati ini telah mengelakkan peningkatan ketegangan dan mengekalkan asas hubungan antara ASEAN, bukan sahaja dengan AS tetapi juga dengan ekonomi utama lain,” katanya dalam ucapan sempena Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-25 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 semalam.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan berusaha sedaya upaya untuk mengemudi perbincangan yang tepat pada masa yang sesuai bersama rakan ekonomi yang tepat bagi tahun ini.
“Pada masa yang sama, kami juga perlu melihat secara dalaman kepada cara-cara untuk meningkatkan perdagangan intra-ASEAN bagi mengurangkan kebergantungan kita terhadap rakan luar,” katanya.
Mesyuarat AECC Ke-25 akan membincangkan 11 agenda yang dipengerusikan oleh Tengku Zafrul.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong; Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei, Datuk Awang Mohd Amin Liew Abdullah, Menteri Perdagangan Kemboja, Cham Nimul, Menteri Perindustrian dan Perdagangan Vietnam, Nguyen Hong Dien, Menteri Perdagangan Indonesia, Budi Santoso dan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Laos, Malaithong Kommasith.
Wakil-wakil lain termasuk Timbalan Setiausaha Kementerian Perdagangan dan Industri Filipina, Allan B. Gepty, Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong, Menteri Perdagangan Thailand, Pichai Naripthaphan dan Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste, Francisco Kalbuadi Lay.
Sementara itu, Zafrul berkata, ASEAN dijangka mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.7 peratus pada 2025 dengan kadar inflasi sekitar tiga peratus.-UTUSAN.











