Permintaan emas meningkat ketika ketidaktentuan ekonomi

Permintaan emas meningkat ketika ketidaktentuan ekonomi

KESEDARAN mengenai pelaburan emas semakin meningkat dalam kalangan orang ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EMAS sering digelar sebagai ‘aset selamat’ kerana nilainya cenderung kekal atau meningkat apabila aset lain seperti saham, bon atau mata wang mengalami kejatuhan. 

Gelaran ini boleh dilihat dari sejarah panjang emas sebagai pelindung nilai yang dipercayai ketika krisis kewangan, inflasi tinggi dan ketidaktentuan geopolitik. 

Ketika pasaran saham merosot, nilai mata wang menjunam atau inflasi melonjak, pelabur lazimnya beralih kepada emas sebagai perlindungan terhadap ketidaktentuan tersebut.

Emas memiliki ciri-ciri unik yang menjadikannya berbeza daripada aset kewangan lain kerana ia tidak terikat kepada mana-mana negara, kerajaan, atau sistem kewangan. 

Nilainya tidak bergantung kepada prestasi mana-mana syarikat atau obligasi hutang, serta tidak boleh dimanipulasi sewenangnya oleh dasar monetari seperti kadar faedah atau pelonggaran kuantitatif.

Ini menjadikan emas sebagai sebagai satu instrumen yang ideal untuk pelaburan dalam situasi ekonomi yang semakin tidak menentu serta ketegangan dalam geopolitik ketika ini.

Sehingga artikel ini ditulis pada Jumaat lalu, harga emas telah mencecah AS$3,303.5 (RM14,056.18) seauns atau AS$106.19 (RM451.84) segram.

Pengarah Urusan Merchant Nine Sdn. Bhd., Nik Mohd Haniff Nik Hamid berkata, dalam situasi ketidaktentuan, pelabur akan beralih kepada emas kerana ia tidak terikat kepada sistem kewangan yang mudah terjejas oleh krisis geopolitik atau kegawatan ekonomi.

Katanya, faktor utama yang mempengaruhi turun naik harga emas di Malaysia ketika ekonomi global tidak stabil ialah perubahan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).  

Selain itu, beliau berkata, kadar faedah yang ditetapkan oleh bank pusat utama dunia seperti Rizab Persekutuan (Fed), serta sentimen pelabur global terhadap ketidaktentuan pasaran turut memberi kesan langsung kepada pergerakan harga emas.

“Sambutan emas tahun ini dilihat semakin meningkat, didorong oleh harganya yang terus meningkat dalam pasaran. 

“Ramai yang membuat pembe­lian kerana takut harga emas terus naik. Selain itu, terdapat juga kesedaran dalam orang ramai tentang kelebihan emas dalam masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Jelasnya, emas lebih sesuai dijadikan sebagai pelaburan jangka panjang berbanding jangka pendek kerana nilainya cenderung meningkat dan stabil dalam tempoh masa yang panjang.

Mengulas mengenai bentuk pelaburan emas yang boleh diterokai pelabur tempatan, beliau berkata, emas fizikal bukan sahaja memberi pulangan dari segi pelaburan, tetapi juga boleh dipakai dan dinikmati.

Katanya, ini menjadikannya aset yang mempunyai nilai berganda dari sudut kewangan dan peribadi. 

“Dalam masa yang sama, pelaburan melalui akaun emas patuh syariah juga semakin popular kerana ia menawarkan kemudahan kecairan tanpa perlu menyimpan emas secara fizikal. 

“Saya sarankan orang ramai yang mahu melabur dalam emas untuk memulakan melalui emas fizikal di kedai-kedai emas dan jugak akaun emas,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, Dana Dagangan Bursa (ETF) pula lebih sesuai untuk pelabur berpengalaman yang biasa dengan pasaran saham.

Ketika ditanya mengenai masa yang sesuai untuk memulakan pelaburan dalam emas, beliau berkata, tiada masa yang sempurna untuk membeli emas.

Sebaliknya, beliau memberitahu, pelabur perlu pandai mengatur strategi dan pembelian berkala adalah langkah yang paling bijak.

“Untuk menjual pula, boleh pertimbangkan bila harga emas itu tengah naik dengan mendadak atau apabila ada keperluan untuk menjualnya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×