BOSTON: Seorang hakim Persekutuan mengeluarkan perintah sekatan sementara terhadap rancangan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk membatalkan keupayaan Universiti Harvard mendaftarkan pelajar asing.
Hakim Daerah AS, Allison Burroughs memutuskan supaya tindakan tersebut dihentikan buat sementara waktu dan perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 29 Mei di Boston.
Perintah ini dikeluarkan selepas Universiti Harvard memfailkan saman terhadap tindakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) yang mahu menarik semula akses program visa pelajar antarabangsa (SEVP) institusi pengajian itu.
Dalam tuntutan mahkamah, universiti itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang dan kebebasan bersuara.
Presiden Universiti Harvard, Alan Garber berkata, langkah tersebut adalah cubaan kerajaan untuk membalas dendam atas keengganan universiti itu tunduk kepada tekanan politik terhadap dasar pengambilan pelajar dan akademik.
Tegas beliau, kemasukan kira-kira 6,800 pelajar antarabangsa yang meliputi lebih 27 peratus daripada keseluruhan pelajarnya, memberikan sumbangan besar kepada kepada misinya sebagai institusi global.
Pentadbiran Trump mendakwa Harvard gagal menangani isu antisemitisme dan mempersoalkan dasar pengambilan pelajar dan kakitangannya, tuduhan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh pihak universiti.
Sekitar satu perlima daripada pelajar asing Universiti Harvard berasal dari China, dan sebilangan besar dari Kanada, India, Korea Selatan dan United Kingdom (UK).
Antara pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti pengajian termasuk pewaris takhta Belgium, Puteri Elisabeth yang berusia 23 tahun.







