Setiap pemilik kediaman pastinya menginginkan hiasan dalaman yang bukan sahaja indah tetapi juga praktikal untuk kehidupan seharian.
Sememangnya tidak mudah untuk menggabungkan kedua-dua elemen ini kerana rekaan yang cantik kadangkala tidak sesuai digunakan secara harian.
Namun, pemilik kediaman yang satu ini mampu menyatukan hiasan dalaman yang cantik dan sesuai untuk kehidupan harian dalam satu ruang.
Gabungan harmoni ini direalisasikan melalui gaya klasik moden pilihan hatinya yang turut diberikan sedikit sentuhan Scandinavian.
Suri rumah, Nur Ayuni Mohd. Shahidan berkata, mahligai yang dilatari konsep minimalis itu bukan sahaja tampil menarik, bahkan memberi rasa selesa kepada keluarganya untuk bersantai.

Gabungan kedua-dua konsep secara sederhana itu banyak mengetengahkan tona warna neutral, penggunaan tekstur kayu serta pencahayaan hangat untuk membangkitkan suasana nyaman.
Rona kayu coklatapabila dipadankan dengan pencahayaan kuning atau hangat memberi efek seolah-olah berada di chalet percutian mewah yang menenangkan.
Lebih penting, konsep itu cukup dipadankan dengan perabot dan dekorasi minimal tetapi mempunyai sedikit tekstur untuk kemasan estetik.
“Rumah kami berkonsepkan gabungan klasik moden dan Scandinavian dengan sentuhan minimalis. Kami fokus pada tona warna semula jadi, penggunaan tekstur kayu serta pencahayaan yang hangat untuk mencipta suasana yang nyaman, tenang dan elegan.
“Kami memilih konsep ini kerana ia cantik dipandang dan praktikal untuk kehidupan seharian. Ia memberi rasa selesa selepas penat bekerja dan mudah disesuaikan dengan keperluan keluarga yang sedang membesar,” katanya kepada Seri.
Elemen yang menarik perhatian termasuklah penggunaan lampu gantung rona hangat dan chandelier yang membangkitkan suasana mewah di tengah-tengah ruang.
Kombinasi permukaan marmar dan kayu pula memberikan sentuhan estetika pada sudut, manakala kehadiran aksesori kecil seperti lilin, pasu dan tanaman tiruan melengkapkan susun atur rumah yang ringkas tetapi masih mencuri tumpuan.
“Konsep ini mudah dijaga, menjimatkan masa untuk mengemas dan tidak memerlukan banyak barang untuk kelihatan kemas dan sedap mata memandang.
“Bahagian dalam rumah mudah diselenggara kerana tidak banyak barang. Cuma di luar yang agak mencabar untuk dijaga dalam jangka panjang kerana dicat putih,” kongsinya.

Rumah teres dua tingkat dengan keluasan keseluruhan 2,100 kaki persegi ini tampil luas dengan susun atur sederhana pada ruang terbuka.
Ruang terbuka yang digandingkan dengan pencahayaan semula jadi berjaya mewujudkan efek lapang dan selesa untuk bersantai seisi keluarga.
“Dapur dan ruang tamu adalah ruang yang paling digemari kerana di sinilah kami sering menghabiskan masa bersama.
“Kami banyak membuat suai padan barang-barang rumah menggunakan warna neutral, kayu, nude dan sedikit warna gelap sebagai elemen pop-up,” katanya.










