PETALING JAYA: Kejayaan dua beregu badminton Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah menjuarai Terbuka Thailand di Bangkok, semalam memberi petanda positif untuk mereka meneruskan kecemerlangan itu pada Malaysia Masters yang bermula di Axiata Arena, Bukit Jalil, esok.
Pada final semalam, gandingan No. 5 dunia, Aaron-Wooi Yik menumbangkan beregu muda Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 20-22, 21-17, 21-12, manakala, Pearly-Thinaah membenam Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo dari Korea Selatan 21-16, 21-17.
Prestasi baik yang dipamerkan kedua-dua beregu lelaki dan wanita negara itu membuat peminat di tanah air semakin teruja untuk menyaksikan wakil Malaysia tersebut mengukir kejayaan di laman sendiri.
Baik Pearly-Thinaah mahupun Aaron-Wooi Yik, kedua-dua beregu itu belum pernah menjulang gelaran di Axiata Arena selepas mereka mempersia-siakan peluang pada kejuaraan pembukaan musim, Terbuka Malaysia, Januari lalu.
Kali ini, peluang itu datang lagi untuk Aaron-Wooi Yik dan rakan seperjuangannya yang lain untuk memburu gelaran beregu lelaki selepas kali terakhir Malaysia menjuarai Malaysia Masters menerusi Goh V Shem-Lim Khim Wah pada 2013.
Bagi beregu wanita, fokus lebih terarah kepada Pearly-Thinaah sama ada mereka mampu menamatkan kemarau gelaran yang kali terakhir dimenangi Chin Ee Hui-Wong Pei Tty pada 2012 manakala perseorangan lelaki melalui Datuk Lee Chong Wei pada 2016.
Bagaimanapun, jika melihat daripada sudut keseluruhan tanpa mengambil kira kategori, beregu campuran No. 3 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai merupakan juara bertahan edisi lalu. – UTUSAN











