Anas Supermeal for Superbabies sasar pertumbuhan jualan

Anas Supermeal for Superbabies sasar pertumbuhan jualan RM100,000 sebulan

WAN Atif Akram W. Azhar Lotfi menunjukkan Anas Supermeal for Superbabies yang dijual pada harga antara RM7.90 hingga RM9.90.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Red Saffron Sdn. Bhd. pengeluar makanan bayi di bawah jenama Anas Supermeal for Superbabies menyasarkan pertumbuhan jualan sehingga RM100,000 sebulan menjelang akhir tahun ini, didorong oleh penembusan pasaran pasar raya dan eksport.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Atif Akram W. Azhar Lotfi berkata, jenama yang dilancarkan pada Jun 2024 itu kini mencatatkan jualan sekitar RM50,000 sebulan, dengan prospek pertumbuhan yang kukuh hasil penerimaan positif pengguna.

Menurutnya, produk makanan bayi itu telah menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Disember tahun lalu. 

Katanya, pensijilan halal penting bukan sahaja daripada segi menyakinkan kualiti dan kebersihan produk, tetapi juga membuka peluang untuk mengembangkan lagi pasaran untuk produk makan bayi tersebut.

“Selepas melancarkan produk ini, kami terus berusaha untuk mendapatkan pensijilan termasuk halal Jakim bagi membina kepercayaan pelanggan serta bagi menjaga kualiti produk kami.

“Selain dijual di platform e-dagang, Anas Supermeal for Superbabies juga dipasarkan di 13 kedai bayi dan kini kami dalam proses perbincangan dengan sebuah pasar raya dan dijangka akan memasuki pasar raya tersebut dalam masa sebulan lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Wan Atif Akram berkata, pihaknya kini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 5,000 pek sehari dan kini beroperasi sebanyak 20 peratus.

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, pihaknya menyasarkan untuk memasuki dua pasar raya setiap tahun, sejajar dengan usaha untuk mengetengahkan produk makanan bayi buatan tempatan yang halal dan bernutrisi untuk pertumbuhan bayi.

“Saya juga menyasarkan untuk menembusi pasaran eksport di negara-negara ASEAN. Buat masa ini, kami sudah menerima pertanyaan daripada beberapa pihak dari Indonesia, Singapura dan Vietnam. 

“Jika mendapat permintaan, saya yakin kami dapat memenuhi permintaan dengan kapasiti yang mampu kami tawarkan ketika ini. Saya sasarkan untuk tembusi pasaran eksport menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.

Anas Supermeal for Superbabies menawarkan bubur bayi lengkap nutrisi dalam format pouch yang mudah digunakan, merangkumi karbohidrat, protein sebenar dan sayuran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×