Gara-gara susuk pemikat (Siri 1)

Gara-gara susuk pemikat (Siri 1)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Wan Piah baru sahaja melewati warung Haji Jais. Boleh dikatakan hampir semua pelanggan yang berada di situ memandangnya tanpa berkelip. Dalam hati masing-masing menyimpan impian untuk mendekati janda yang cukup bergetah itu.

Wan Piah sudah berusia awal 50-an tetapi potongan badannya cukup menggiurkan, wajahnya cantik menawan dan kulitnya putih gebu, sekali pandang tidak ubah seperti anak dara sunti.

Suaminya Haji Leman sudah meninggal dunia kira-kira setahun lalu. Usianya ketika itu lebih kurang 70 tahun. Memang tidak padan langsung dengan Wan Piah, ibarat seperti langit dan bumi. Tetapi semua tahu, Wan Piah sanggup bersuamikan Haji Leman kerana gilakan wang ringgit.

Tanahnya berpuluh ekar, hartanya bertimbun, pendek kata sampai mati pun makan tidak habis.

Apabila Wan Piah terima lamaran Haji Leman, satu kampung mula bercerita kononnya Wan Piah bukan ikhlas cintakan Haji Leman, namun tiada siapa mampu bersuara kerana Haji Leman sendiri turut berasa bangga kerana berjaya memiliki Wan Piah. Maklumlah, Wan Piah merupakan gadis yang paling cantik di kampung tersebut.

Nasib Wan Piah juga cukup baik kerana isteri pertama Haji Leman, Hajah Khalsom sudah lama meninggal dunia dan mereka tidak dikurniakan zuriat, jadi secara tidak langsung semua harta peninggalan arwah menjadi milik Wan Piah secara sah.

Wan Piah memang suka melaram ke sana sini. Jika tidak ke pekan dia akan bersiar di sekitar kampung. Dia juga tidak mempunyai zuriat, jadi pergerakannya bebas tanpa dihalang oleh sesiapa.

Boleh dikatakan hampir semua lelaki bujang atau yang sudah berkahwin menaruh hati dengan Wan Piah secara diam-diam. Malah ada juga yang berani menghubunginya secara sembunyi ajak berjumpa dan sebagainya.

Wan Piah tidak lepaskan peluang. Mana-mana lelaki yang dia berkenan dan merupakan cita rasanya terus dia layan sehinggakan ada yang dibawa ke ranjang. Tetapi dia pandai menyimpan rahsia dengan memberikan wang ringgit kepada mereka.

Para wanita yang kebanyakannya bergelar isteri di kampung itu cukup meluat dengan Wan Piah. Bagi mereka Wan Piah sengaja melaram dan pasang badan kerana ingin menggoda suami mereka. Seboleh-bolehnya mereka tidak ingin suami mereka bertembung atau terserempak dengan Wan Piah kerana risau dirampas nanti.

Wan Piah pula memang tidak suka bercampur gaul dengan para wanita di kampung tersebut. Baginya jika ada di antara mereka yang ingin berbuat baik kepadanya hanyalah sekadar pura-pura dan ingin mengorek rahsia peribadinya. Dia tidak kisah kalau dipulaukan kerana hidupnya tidak bergantung dengan mereka.

“Fuhh, tadi aku terserempak dengan Wan Piah dekat kedai runcit Pak Abu, punyalah cantik dan wangi, sampaikan nyaris aku tidak terlanggar tiang,” kata Sarip ketika minum bersama rakan-rakannya.

Ber­dekah mereka ketawa, Mereka tahu Sarip tidak menipu kerana kedai Pak Abu memang menjadi tumpuan Wan Piah untuk membeli barang keperluan setiap hari.

“Aku tak tahulah apa ilmu yang Wan Piah pakai. Sekali pandang memang terus terbawa ke dalam mimpi,” sampuk Seman sambil menghirup kopi di cawannya.

“Siapalah lelaki yang berjaya dapat Wan Piah selepas ini. Rasanya kalau dia kahwin satu kampung frust nanti,” kata Sarip menambah.

Sekali lagi mereka ketawa berdekah. Beberapa lelaki yang berada di meja sebelah memandang dengan penuh kehairanan.

“Aku tak kisah siapa yang hendak kahwin dengan dia, aku cuma nak jadi skandal dia. Cukuplah macam tu! Jadi skandal lagi best tau,” sambung Zamri sambil disahut gelak ketawa.

Memang betul. Ramai yang mengidam untuk menjadi kekasih gelap Wan Piah. Entah kenapa daya tarikan janda bergetah ini cukup meruntun jiwa lelaki yang memandangnya, sehinggakan anak-anak dara sunti di kampung itu pun cemburu melihatnya.

Namun yang menjadi kemusykilan penduduk kampung adalah paras rupa Wan Piah. Wajahnya langsung tidak dimamah usia sedikit kedut pun tidak kelihatan, Kulit mukanya licin dan tegang, pendek kata berbeza dengan wanita lain yang sudah berusia separuh abad.

Walaupun ada yang meneka kononnya Wan Piah mengambil makanan sihat dan memakan jamu, tetapi itu bukanlah cerita sebenar. Ada satu rahsia yang tidak diketahui oleh orang lain. Sebenarnya hampir setiap bulan Wan Piah akan pergi ke sempadan untuk menemui bomoh yang ‘mencipta’ kecantikannya.

Wan Piah sudah lama menggunakan khidmat bomoh tersebut untuk memasang susuk di tubuhnya. Bukan setakat di muka, tetapi di setiap serata badan termasuk kemaluannya. Di sebabkan itulah Wan Piah masih ‘bergetah’ dan tidak dimamah usia.

Setiap susuk tersebut punya ‘penjaganya’. Sebab itulah Wan Piah punyai banyak pantang larang yang perlu dipatuhinya. Walaupun bergelar Muslim tetapi Wan Piah tidak boleh menunaikan solat dan berpuasa. Dia kena mengikut setiap arahan seperti yang terdapat dalam perjanjiannya. – UTUSAN

 

BERSAMBUNG MINGGU hadapan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×