Jalan masuk sudah naik lalang. Semakin sempit nampaknya. Syafiq memandu dengan berhati-hati. Takut jika tayar kereta tidak benar cecah tanah, akan tergelincir masuk ke sawah.
Dahulu, sepanjang laluan ini dipagari tanaman kacang panjang. Arwah tok sangat rajin memanfaatkan setiap inci tanah, hatta sebuah laluan masuk ke pekarangan rumah. Dia masih ingat, ketika arwah tok sibuk memetik kacang berjuntaian, dia pula sibuk mengejar pepatung yang pelbagai warna. Laluan kecil inilah tempat dia berlarian. Ada masa, dia tergelincir ke dalam bendang. Pacat memanjat betis. Arwah tok akan menyalakan pemetik api dan melayur pacat di kaki. Dia takut jika api terkena kaki. Tetapi, ketakutan itu berganti keterujaan apabila melihat pacat yang dilayur perlahan-lahan menggulung sebelum jatuh ke tanah.
Kenangan itu cukup indah. Tetapi, kini hanya terpasak di ingatan, yang suatu hari nanti perlahan-lahan hilang apabila usianya menua. Kereta yang dipandu bergerak perlahan. Bukan sekadar berhati-hati terhadap laluan sekecil batas sawah, tetapi kerana debaran untuk berhadapan dengan isteri arwah Pak Su Jamil.
Suara Wak Kalthom berputar di fikiran, “Baliklah, bincang elok-elok. Semakin lama dibiarkan, semakin bersimpul tak terurai. Rumah dan tanah itu bukan milik arwah tok. Bukan juga harta arwah pak su kamu. Aku tahu, niat kamu dan emak kamu, baik. Tapi, aku yang duduk di kampung ini rasa sedih apabila mendengar nama emak kamu disebut-sebut. Kalau cerita baik, tidak mengapa. Baliklah. Bersemuka. Yang pahit itu, ditelan sekarang, jadi ubat. Ditelan kemudian, jadi racun.”
Dia memarkir kereta di pekarangan rumah yang jauh berbeza pemandangannya. Tidak ada lagi pokok-pokok kelapa menggalah, yang melambaikan pelepah.
Halaman ini sudah dipenuhi dengan pokok-pokok sawit. Ada lebih kurang lima ke enam batang pokok sawit yang besar dan berbuah. Membuatkan persekitaran halaman menjadi gelap. Kawasan belakang rumah pula begitu semak. Bukan hanya dengan rumput dan lalang yang meninggi, tetapi dengan longgokan sampah sarap.
Dia mematikan enjin, lalu keluar daripada kereta, melangkah ke pintu rumah.
“Assalamualaikum.” Salam diberi dalam debar dan istighfar. Pada daun pintu, tertampal sehelai kertas bertulisan Jawi. Ia bukan ayat al-Quran, sebaliknya mantera menghalau jin syaitan. Hatinya tertanya mengapa ayat ini tertampal di dada pintu. Adakah rumah ini diganggu? Sejauh mana tampalan ini membantu? Tetapi, persoalan itu mati sebaik daun pintu dibuka.
“Waalaikumussalam.” Seorang wanita dalam lingkungan usia pertengahan tiga puluhan muncul. Berbaju kurung Kedah dan berkain batik. Rambutnya disanggul. Berkulit putih, bertubuh sedikit gempal. Wajahnya iras wanita Arab.
“Kak Jeha,” Dia menyapa dengan senyuman.
“Masuklah.” Jeha mempelawa sebelum membawa diri ke tengah rumah, mengutip dan menyusun bantal-bantal kusyen yang bersepah. “Duduklah.”
“Terima kasih, kak.” Dia mengambil tempat di atas kusyen yang terlihat lusuh. Angin daripada tingkap yang terbuka luas, menolak rambutnya yang sehelai dua jatuh di dahi.
“Mak kamu tak datang?”
“Tak dapat, kak. Mak bukan boleh jalan jauh. Mak kirim salam pada Kak Jeha. Akak dan anak-anak, sihat?”
“Waalaikumussalam. Sihat macam inilah. Kamu duduk dulu. Akak ke dapur buat air.”
“Tak payah susah-susah, kak. Saya dah minum masa dalam perjalanan tadi. Akak duduklah. Kita bersembang.”
Jeha bersila di lantai simen yang sebahagiannya retak. Anak-anaknya yang dahulu kecil dan merangkak, kini sudah remaja. Masing-masing menyorok di satu ruangan yang di dinding dengan rak buku dan rak pinggan mangkuk. Membentuk seakan sebuah bilik.
Ruangan itu dahulu, ada pangkin tempat arwah tok duduk-duduk sambil menarik tali panjang yang dipasang sehingga ke tengah bendang. Tali yang digantung dengan buluh-buluh pendek bersilang. Apabila ditarik, buluh-buluh akan berlaga sehingga menghasilkan bunyi gemerincing. Tujuannya untuk menghalau burung yang hendak memakan padi.
“Berapa ramai anak akak yang masih bersekolah?” Berhati-hati dia menyusun soalan. Tidak terus kepada hal tanah rumah.
“Ada empat lagi. Dua, sudah bekerja.”
Dia mengangguk-angguk. “Pergi sekolah, naik apa? Jauh nampaknya kalau hendak keluar dari sini.”
“Abang dan kakaknya hantar naik motor. Kamu nampak jauh sebab tak biasa. Kami tak rasa pun semua tu.”
Dia mengangguk-angguk sambil tersenyum kelat dengan sindir kata Jeha. Jeha tahu kenapa dia datang. Dan, sudah alang-alang Jeha menarik persoalan ke situ, lebih baik dia berterus terang walaupun hatinya berbelah bahagi. Kata Wak Kalthom, dia berhak. Jeha itu hanya menumpang dengan belas ihsan emak. Belas ihsan yang kemudiannya menjadi duri apabila ada tuntutan Jeha yang tidak dapat emak penuhi.
“Kak Jeha baiki atap dengan duit hasil jualan sawit. Tak minta pun duit bantuan kerajaan, sebab emak kamu tak nak tandatangan,” Jeha kembali bersuara selepas dia tidak berkata apa.
Dia mengangguk. Tidak ada apa yang ingin disangkal. Mereka tidak pernah menghalang Jeha untuk membaiki rumah tersebut. Mereka juga bersimpati pada Jeha anak-beranak yang tinggal di rumah uzur.
Tentang menandatangani borang kerajaan bagi membina rumah di tanah emak, memang mereka sudah sepakat tidak mahu emak menandatanganinya.
Jika emak menandatangani borang-borang tersebut, bermakna, rumah yang akan dibina itu menjadi milik Jeha.
Nama Jeha. Akan diwarisi oleh anak-anak Jeha.
Bagaimana mereka akan meminta hak mereka ke atas tanah emak jika rumah yang dibina itu sudah ada nama Jeha? Bolehkah rumah Jeha itu nanti diangkat ke tempat lain jika mereka ingin mengambil semula tanah tapak rumah? Sedangkan, emak tidak pernah berniat menyerah atau menjadikan tanah tapak rumah itu sebagai tanah wakaf yang boleh dibina apa-apa bangunan atas dasar ihsan.
Sewaktu awal emak membeli tanah dan rumah pusaka ini daripada adik-beradiknya, iaitu selepas kematian arwah tok, emak beri izin pada Pak Su Jamil tinggal di situ. Selama hidupnya memang Pak Su Jamil menumpang di rumah tok walaupun emak Pak Su Jamil itu sudah meninggal dunia. Pak Su Jamil tidak ada rumah apatah lagi tanah. Pak Su Jamil itu, anak tiri arwah tok.
Pada masa itu, Wak Kalthom, kakak emak, sudah berbunyi pada emak, memberi bayangan yang perkara tanah ini akan menjadi rumit suatu hari nanti. Mereka, adik-beradik kandung emak memang tidak ada masalah selepas emak membeli tanah pusaka arwah tok dan membahagikan duitnya mengikut faraid kepada adik-beradik.
Pak Su Jamil tidak ada bahagian kerana bukan darah daging. Tinggalnya Pak Su Jamil di rumah ini kerana emak tidak sampai hati hendak meminta pak su pergi. Lagipun kata emak, biarlah pak su menjaga rumah ini sementara tidak ada perancangan terhadapnya. Dan, belas kasihan emak terhadap keluarga pak su berpanjangan sehingga pak su meninggal dunia dan yang tinggal di rumah ini ialah isteri dan anak-anaknya yang semakin dewasa. Yang sudah menganggap rumah ini tinggalan arwah ayah mereka.
Kak Jeha, walaupun tahu akan hak tanah rumah ini, nampaknya tetap tidak ada ura-ura hendak berpindah walau tampak tidak selesa dengan keuzuran rumah. Tidak tahu mengapa dia berkeras hendak tinggal di situ walaupun suaminya sudah tiada.
“Jeha itu ada rumah. Rumah pusaka keluarga dia sendiri di Batu Gajah. Tapi, tak faham aku kenapa dia masih nak duduk di rumah emak kamu. Rumah yang dah nak roboh. Bahagian atas pun tak boleh dipijak. Sudahlah jauh daripada orang. Jiran pun satu dua, dipisahkan dengan beberapa relung bendang.”
Cerita Wak Kalthom tentang rumah Kak Jeha itu, ingin sahaja ditanyakan kepada Kak Jeha. Tetapi, dia takut kalau Kak Jeha bermasam muka dengan Wak Kalthom. Cerita itu hanya Wak Kalthom tahu. Andai dia membuka cerita, pasti Kak Jeha tahu yang Wak Kalthom telah menyampaikannya. Wak Kalthom satu-satunya tempat Kak Jeha mengadu. Wak Kalthom juga yang selalu menghulur duit sepuluh, dua puluh ringgit pada Kak Jeha di waktu-waktu dia terdesak. Kak Jeha percayakan Wak Kalthom walaupun nasihat Wak Kalthom padanya agar berpindah selepas pak su meninggal dunia, tidak diendah. “Kak, selain bantuan bina rumah, akak ada dapat tawaran lain daripada kerajaan? Atau, kalau bukan akak, anak akak ke? Macam rumah pertama?” Dia gagahkan hati untuk bertanya. Dia bersimpati dengan nasib Jeha yang mengahwini Pak Su Jamil yang tidak ada apa. Jeha masih muda ketika berkahwin dengan Pak Su Jamil yang berusia. Baru habis sekolah. Kerana itu dia sendiri tidak pernah memanggil Jeha sebagai mak su atau mak cik, sebaliknya hanya ‘Kak Jeha’.
“Kenapa? Kamu nak ambil balik rumah ini? Nak suruh aku anak-beranak keluar dari sini?” Dia tersentak. Jeha tak berbasa-basi dengannya. Walaupun suara Jeha tidak melengking, tetapi pertanyaan itu tetap membekas dalam. Seolah-olah dia itu Israel yang akan merampas tanah daripada bangsa Palestin.
“Bukan begitu, kak. Macam awal-awal emak cakap dengan arwah pak su dan akak, akak anak-beranak boleh duduk di sini kalau tak ada penempatan yang lebih baik. Tapi, kalau ada, elok rasanya akak bina kehidupan di luar sana. Kawasan ini pun jauh daripada orang. Anak-anak akak, ramai yang perempuan. Kalau dapat rumah di bandar, atau sekurang-kurangnya dekat dengan orang, itu lebih baik.”
“Rumah ni, rumah akak dengan pak su kau. Walau buruk, dah nak roboh, akak selesa di sini. Akak boleh hidup dengan sawit yang arwah suami akak tanam.”
Dia menghela nafas. Jeha menganggap rumah ini, rumah dia dan pak su. Kata-kata Wak Kalthum semakin jelas. Memang Jeha inginkan tapak tanah rumah ini. Mungkin, anak-anaknya juga nampak yang rumah dan tapak tanah rumah ini milik arwah ayah mereka.
“Beginilah, kak. Saya dan emak pun dah berbincang. Akak boleh terus tinggal di sini. Cuma, memang kami tak akan menandatangani apa-apa surat bantuan kerajaan yang melibatkan tanah dan tapak rumah. Anak-anak akak dah besar dan ada sudah bekerja. Saya harap, mereka tahu tentang tanah rumah ini milik siapa. Tinggallah selagi kami tidak ada apa-apa perancangan ke atasnya. Tetapi, saya minta jasa baik akak agar faham keadaan kami. Janganlah menjaja cerita buruk tentang emak saya. Hak tetap hak. Saya minta diri dulu, kak.” Dia bangun, menyeluk kocek seluar. Mengeluarkan dua tiga keping wang RM50, diserahkan pada Jeha. “Buat belanja, kak.”
Jeha tidak menolak. Tidak juga berkata apa.
Enam bulan selepas itu, dia menerima panggilan telefon daripada Cikgu Johan. Sepupu emak yang membuat bendang. Emak pajakkan bendang itu pada sepupunya yang tinggal di kampung yang sama untuk dikerjakan.
“Rumah tengah sawah tu, kosong ke, Fiq?”
“Eh, kenapa cikgu? Bukan ke Kak Jeha, isteri arwah Pak Su Jamil tinggal di situ?”
“Aku tak nampak siapa-siapa, Fiq. Dulu, nampak juga motosikal anak-anaknya keluar masuk pergi kerja, pergi sekolah. Sejak sebulan dua ini, dah tak nampak.”
“Jeha anak-beranak dah pindah. Anaknya dapat beli rumah teres. Kamu tak tahu ke? Dia tak ada menelefon emak kamu?” Itu kata Wak Kalthom. Tidak ada. Jeha langsung tidak menghubungi mereka.
“Kamu baliklah. Tengok rumah itu. Sudah kosong macam itu, takut ada yang menumpang.”
Dia faham kata-kata Wak Kalthom. Di kampung, sudah ramai penagih dadah. Mana-mana rumah kosong, akan dijadikan tempat menjalankan aktiviti tidak bermoral. Jika bukan penagih dadah, mungkin ditumpangi oleh makhluk Allah yang lain.
Rumah itu perlu dirobohkan. Cuma yang dia kesal, hubungan dengan keluarga arwah Pak Su Jamil telah roboh awal. Jeha anak-beranak nampaknya tidak lagi ingin mengekalkan hubungan persaudaraan dengan mereka. Keluar tanpa sebarang bicara.
“Assalamualaikum, cikgu. Saya hendak minta bantuan cikgu carikan orang untuk robohkan rumah bendang.” – UTUSAN










