Tikam anak lelaki: Guru dirujuk ke Hospital Bahagia

Tikam anak lelaki: Guru dirujuk ke Hospital Bahagia

ASROLFANDI Ab. Suki (tengah) diiringi anggota polis semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, semalam – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan menikam anak lelakinya berusia 11 tahun di rumah mereka di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung, dekat sini, dua minggu lalu.

Tertuduh, Asrolfandi Ab. Suki, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah. Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat membunuh telah menikam anaknya menggunakan sebilah pisau sehingga mengakibatkan kecederaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumahnya di kampung berkenaan kira-kira pukul 8.55 pagi, 2 Mei lalu. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwa­kili penguam.

Siti Aiysha Na’ilah memohon satu laporan lengkap kesihatan tertuduh berikutan terdapat laporan bahawa Asrolfandi mempunyai masalah mental.

Mahkamah membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta di Perak untuk pemerhatian doktor dan laporan kesihatan mental serta menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki cedera ditikam bapanya yang dipercayai mengalami gejala kemurungan di rumah mereka di Kampung Banggol Che Dol.

Dalam kejadian itu, suspek menikam mangsa dua kali di dada dan sekali di perut menggunakan pisau pemotong sayur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×