Jumpa harimau, laluan berselut tidak gugat semangat didik Orang Asli

Jumpa harimau, laluan berselut tidak gugat semangat didik Orang Asli

ASMAWATI Ahmad bersama murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Semangat seorang guru wanita menabur bakti untuk anak-anak Orang Asli di tengah-tengah belantara tidak luntur walaupun pernah terserempak harimau belang yang berkeliaran berhampiran pagar kuarters guru semasa bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, di sini.

Asmawati Ahmad, 45, berkata, walaupun sudah tiga tahun berlalu, kejadian itu masih segar dalam ingatannya selepas melihat secara jelas harimau belang yang cuba melompat masuk kawasan kuarters guru.

“Kami bersyukur haiwan itu tidak dapat masuk dan kemudian berlalu ke kawasan hutan berhampiran,” kata guru Bahasa Inggeris itu.

Asmawati yang kini bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai berkata, dia tidak pernah kesal diberikan amanah untuk berkhidmat di kawasan pedalaman.

Katanya, kehidupan bersama masyarakat Orang Asli sudah sebati apabila dia sebelum ini pernah bertugas di SK Balar selama enam tahun.

“Jalan tanah berselut, paras sungai meningkat dan meredah perjalanan menaiki trak pikap dalam gelap, itu semua bukan masalah. Saya terus pikul amanah demi mengajar anak Orang Asli.

“Pada Januari tahun lalu, saya bertukar ke SK Bihai iaitu Sekolah Rendah Model Khas Komprehensif K9 untuk mengajar 211 murid Orang Asli bermula tahun satu sehingga tingkatan dua,” katanya.

Asmawati mengakui, cuaca hujan dan musim tengkujuh memberi cabaran kerana mereka terpaksa menempuh perjalanan lebih lama untuk sampai ke sekolah.

“Jarak Pos Bihai lebih 40 kilometer dari Kuala Betis. Kebiasaannya perjalanan mengambil masa dua jam. Jika hujan, mengambil masa sehingga lima jam untuk tiba ke sekolah.

“Cabaran masuk dan keluar dari pos pedalaman ini sentiasa ada dan berbeza bergantung kepada cuaca. Semuanya perlu ditempuh demi menggalas tanggungjawab mendidik anak bangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×